Korea Selatan lancar satelit intip kedua ke orbit

Bernama
April 8, 2024 06:30 MYT
Roket itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat pada 8.17 pagi waktu tempatan. - Gambar AP
MOSCOW: Korea Selatan telah berjaya melancarkan satelit pengintip kedua yang dibangunkan negara itu ke orbit dengan menggunakan roket Falcon 9 SpaceX, menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada Isnin, lapor Sputnik.
Roket itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, Amerika Syarikat pada 8.17 pagi waktu tempatan (GMT 2317 Ahad) dan menghantar satelit pengintip ke orbit kira-kira 45 minit selepas pelancaran, lapor Agensi Berita Korea Selatan Yonhap.
Satelit itu kemudiannya disambungkan dengan stesen bumi asing pada 10.57 pagi.
Ini adalah pelancaran satelit pengintip tentera kedua Seoul di bawah rancangan Korea Selatan untuk meletakkan lima satelit pengintip ke orbit menjelang tahun 2025 untuk memantau aktiviti Korea Utara.
Langkah itu dibuat ketika Pyongyang didakwa meningkatkan usaha untuk membangunkan keupayaan mengintip di angkasa yang berpotensi meningkatkan "keupayaan serangan yang tepat" terhadap sasaran utama di Korea Selatan dan Amerika Syarikat. - BERNAMA
#Korea Selatan #satelit pengintip #roket Falcon 9 SpaceX #pertahanan
;