Korea Selatan lancar latihan tentera susulan ujian nuklear Korea Utara
Agensi
September 4, 2017 08:19 MYT
September 4, 2017 08:19 MYT
Tentera udara Korea Selatan menjalankan latihan ketenteraan pada awal Isnin susulan ujian nuklear keenam Korea Utara semalam.
Beberapa peluru berpandu balistik serta jet pejuang F-15K dilaporkan mula melancarkan latihan serangan di perairan timur Korea Selatan.
Peluru berpandu itu mampu mengena sasaran di tapak ujian nuklear Korea Utara di Punggye-ri.
Pada Ahad, Korea Utara mendakwa telah berjaya melancarkan ujian nuklear menggunakan bom hidrogen yang mampu dimuatkan bersama peluru berpandu balistik rentas benua.
Tindakan itu dikecam sekeras-kerasnya oleh beberapa pemimpin dunia termasuk Malaysia dan Singapura yang menyatakan ia merupakan ancaman serius kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata ujian itu, yang merupakan ujian kali keenam oleh Korea Utara sejak ujian pertamanya pada 2006, adalah pencabulan yang jelas terhadap resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Jelas kenyataan itu, tindakan bersifat provokatif berkenaan merupakan ancaman yang serius kepada keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Katanya lagi, Malaysia amat kesal dengan insiden terbaharu ini yang hanya akan mengeruhkan lagi situasi yang sedia tegang di semenanjung Korea dan rantau tersebut secara keseluruhannya.
Menggesa Korea Utara menghentikan sebarang ujian lanjut serta menghentikan program nuklear dan peluru berpandu balistiknya, Wisma Putra berkata, Malaysia juga bertegas mahu Korea Utara mematuhi sepenuhnya tanggungjawab demi memelihara keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.
Sementara itu Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, James Mattis memberi amaran kepada Korea Utara sebarang ancaman terhadap negara itu atau sekutunya akan dibalas dengan tindakan ketenteraan.
Kenyataan ini berikutan mesyuarat keselamatan diketuai Presiden Donald Trump.
Ujian tersebut turut disahkan Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat yang menyatakan berlakunya gempa berukuran 6.3 pada skala Richter di Korea Utara dipercayai hasil daripada letupan nuklear tersebut.