Korea Selatan, AS lancar latihan peluru berpandu

Astro Awani
Oktober 5, 2022 07:15 MYT
Jet pejuang Korea Selatan dan Amerika Syarikat dilihat melakukan latihan ketenteraan. - Foto AP
SEOUL: Korea Selatan dan Amerika Syarikat laksana latihan peluru berpandu bersama selepas provokasi Pyongyang melancarkan peluru berpandu melintasi utara Jepun.
Amerika Syarikat turut menempatkan semula kapal pengangkutnya di timur Korea Utara.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken memberi amaran kepada Korea Utara bahawa negara itu berisiko dikecam dan dipulaukan sekiranya masih meneruskan provokasinya.
Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik melintasi utara Jepun buat kali pertama dalam tempoh lima tahun sekaligus mendorong amaran dikeluarkan kepada penduduk Jepun untuk berlindung.
BACA: Korea Utara lancar ujian peluru berpandu
Washington menyifatkan ujian itu tindakan berbahaya dan melulu.
Sebagai tindak balas, tentera Korea Selatan dan AS melepaskan tembakan peluru berpandu ke laut.
Kedua-dua negara sebelum itu melancarkan latihan pengeboman dengan jet pejuang berhampiran Semenanjung Korea.
Bercakap semasa lawatan ke Chile, Blinken berkata, AS, Korea Selatan dan Jepun bekerjasama rapat "untuk menunjukkan dan mengukuhkan keupayaan pertahanan berikutan ancaman dari Korea Utara."
Majlis Keselamatan PBB akan bermesyuarat untuk membincangkan isu Korea Utara atas permintaan Washington.
#latihan ketenteraan #peluru berpandu #Antony Blinken #Korea Utara
;