Korea Selatan laksanakan sekatan unilateral pertama terhadap Korea Utara sejak 5 tahun

Bernama
Oktober 14, 2022 15:40 MYT
Tindakan Korea Selatan itu sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat oleh unit operasi nuklear taktikal. - Gambar fail
SEOUL: Korea Selatan pada Jumaat menyenaraihitam 15 individu dari Korea Utara dan 16 institusi dalam sekatan unilateral pertamanya terhadap Pyongyang sejak lima tahun sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu yang semakin meningkat oleh unit operasi nuklear taktikal.
Individu tersenarai termasuk pegawai di firma perkapalan dan organisasi berkaitan dengan program peluru berpandu Utara, serta mereka yang terlibat dalam perolehan bekalan senjata pemusnah besar-besaran, lapor agensi berita Yonhap.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya beberapa siri provokasi peluru berpandu Korea Utara dengan kekerapan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan cadangan penggunaan nuklear taktikal terhadap kami," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan.
Sekatan baharu itu diumumkan ketika Korea Utara meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea dengan serangan peluru berpandu provokatif bertubi-tubi dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Ini menandakan kali pertama kerajaan Korea Selatan mengenakan sekatan ke atas Korea Utara sejak 2017 susulan ujian nuklear keenam Pyongyang.
Kementerian Luar juga akan mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Pyongyang sekiranya negara itu melakukan provokasi selanjutnya.
"Sekatan unilateral terkini amat penting kerana (langkah sedemikian) diambil buat kali pertama dalam tempoh lima tahun dan ini bukanlah pengakhiran.
"Kami merancang untuk mengenakan sekatan unilateral tambahan terhadap provokasi Korea Utara dan membincangkan cara untuk meningkatkan keberkesanan sekatan dalam penyelarasan rapat dengan Amerika Syarikat, Jepun, Australia, EU dan negara-negara sahabat yang lain," kata seorang pegawai kementerian kepada pemberita yang meminta identitinya dirahsiakan.
Individu yang disenaraikan termasuk mereka dari Korea Ryonbong General Corp., yang dikenali sebagai konglomerat pertahanan dalam pemerolehan untuk industri pertahanan Korea Utara dan Akademi Sains Semula Jadi Kedua, kini dikenali sebagai Akademi Sains Pertahanan Negara yang bertanggungjawab terhadap pembangunan peluru berpandu balistik dan senjata nuklear.
Sementara itu, institusi yang disenarai kebanyakannya syarikat perkapalan, termasuk Kementerian Industri Roket, Hapjanggang Trading Corp., Korea Rounsan Trading Corp. serta Pentadbiran Maritim Utara dan Kementerian Industri Minyak Mentah.
Sekatan terbaharu oleh Seoul dilihat sebagai simbolik, kerana semua transaksi antara kedua-dua Korea telah diharamkan selama bertahun-tahun.
Individu dan entiti itu sudah disenarai hitam oleh kerajaan Amerika Syarikat dari Disember 2016 hingga Mei 2022, menurut kementerian itu.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #sekatan unilateral #Korea Utara #nuklear
;