Korea Selatan kesal dengan siaran media sosial Hyundai Pakistan - Kementerian Luar India
Bernama
Februari 8, 2022 05:15 MYT
Februari 8, 2022 05:15 MYT
NEW DELHI: Korea Selatan menzahirkan rasa kesal terhadap mesej media sosial yang disiarkan oleh rakan kongsi perniagaan automotif Hyundai Motor di Pakistan mengenai isu Kashmir, kata kerajaan India pada Selasa.
Kementerian Luar berkata sejurus selepas siaran media sosial itu pada Ahad, Duta India di Seoul "menghubungi Ibu Pejabat Hyundai dan meminta penjelasan."
Ia berkata Menteri Luar Korea Selatan Chung Eui-yong menghubungi rakan sejawatannya dari India Subrahmanyam Jaishankar pada Selasa dan semasa perbincangan itu, yang merangkumi pelbagai isu, Chung "menyampaikan kekesalan dengan siaran di media sosial itu" kepada pihak India.
Kontroversi itu tercetus selepas akaun media sosial Hyundai Pakistan menyiarkan mesej sebagai "sokongan" terhadap Kashmir pada sambutan tahunan Hari Solidariti Kashmir Pakistan.
Pertikaian mengenai Kashmir selama beberapa dekad adalah punca utama ketegangan antara India dan Pakistan.
"Duta Besar Korea Selatan telah dipanggil oleh Kementerian Luar pada Isnin bagi menyampaikan rasa tidak senang Kerajaan terhadap siaran media sosial oleh Hyundai Pakistan," kata kementerian India pada Selasa.
Hyundai mengeluarkan kenyataan yang menyebut pengedarnya di Pakistan "amat jelas dengan tindakan tidak wajar" di media sosialnya.
"Adalah menjadi dasar perniagaan, Syarikat Hyundai Motor tidak mengulas mengenai isu politik atau agama di mana-mana wilayah tertentu. Oleh itu, tindakan itu jelas bertentangan dengan dasar Hyundai Motor bahawa pengedar milik persendirian di Pakistan itu membuat siaran media sosial berkaitan Kashmir yang tidak dibenarkan daripada akaun mereka," kata syarikat itu.
Nishat Group, sebuah konglomerat terkemuka, merupakan rakan kongsi Hyundai di Pakistan.
-- BERNAMA