Korea Selatan kerah doktor tentera ke bilik kecemasan hospital

Bernama
September 2, 2024 20:15 MYT
Kementerian Kesihatan menyatakan bilangan doktor, termasuk pakar dan doktor muda, yang kini bekerja di bilik kecemasan adalah 73.4 peratus daripada kapasiti biasa. - Gambar hiasan/ Reuters
SEOUL: Kementerian Kesihatan Korea Selatan pada Isnin merancang untuk mengerahkan doktor tentera ke bilik kecemasan hospital berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan perkhidmatan kecemasan semasa cuti Chuseok disebabkan mogok berpanjangan oleh doktor muda.
Agensi Berita Yonhap melaporkan Naib Menteri Kesihatan Kedua Park Min-soo memberitahu pemberita bahawa kerajaan akan mengerahkan kira-kira 250 doktor tentera dan doktor kesihatan awam untuk menangani perkhidmatan kecemasan sebelum dan selepas cuti yang berlangsung dari 14 hingga 18 September.
"Kami sedang memperkukuh kakitangan dengan menggunakan doktor tentera dan awam, selain melaksanakan pengambilan jururawat dan doktor kontrak," kata Park.
Kementerian Kesihatan menyatakan bilangan doktor, termasuk pakar dan doktor muda, yang kini bekerja di bilik kecemasan adalah 73.4 peratus daripada kapasiti biasa.
Menurut kementerian itu, daripada 409 bilik kecemasan di negara ini, 406 masih beroperasi 24 jam, walaupun 27 daripadanya telah mengurangkan bilangan katil.
Jumlah katil yang tersedia di institusi perubatan kecemasan setakat Jumaat lepas berjumlah 5,918 mewakili 97.5 peratus daripada 6,069 katil yang direkodkan pada minggu pertama Februari, sebelum mogok doktor muda bermula.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #mogok doktor #doktor tentera #bilik kecemasan