Korea Selatan kenakan sekatan ke atas warga Rusia
Bernama
Jun 28, 2023 18:17 MYT
Jun 28, 2023 18:17 MYT
ANKARA: Korea Selatan pada Rabu mengenakan sekatan ke atas empat lagi individu dan organisasi termasuk seorang warga Rusia atas dakwaan penglibatan mereka dalam membiayai program senjata pemusnah besar-besaran Korea Utara, menurut media tempatan.
Korea Selatan buat kali pertama menambah warga asing berketurunan Korea dalam senarai hitam itu, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Yonhap.
Individu dan organisasi yang disenarai hitam termasuk Choi Chon Gon, So Myong, Hanne Ulaan dan Epsilon.
"Sekatan unilateral kerajaan terhadap Choi dan yang lain akan membantu meningkatkan kesedaran di dalam dan di luar negara dalam pencegahan aktiviti yang melanggar sekatan," lapor agensi itu memetik kenyataan Ketua Pengarah Hal Ehwal Nuklear Korea Utara di Kementerian Luar Seoul, Lee Jun-il.
Seoul menuduh Choi, warga Rusia berketurunan Korea, mengasaskan syarikat yang menjalankan aktiviti haram Korea Utara, Hanne Ulaan LCC, di Mongolia bagi mengelak sekatan antarabangsa dan pada masa yang sama memperoleh pembiayaan untuk program senjata Pyongyang, menurut laporan itu.
Choi juga dituduh menyokong pembiayaan Pyongyang menerusi penubuhan Epsilon, firma perdagangan yang berpangkalan di Rusia, bersama So, ketua cawangan Bank Perdagangan Asing Korea Utara di bandar Vladivostok, Rusia.
Sepanjang tahun lepas, Korea Selatan mengenakan sekatan ke atas 45 individu dan 47 agensi kerana terlibat dalam program pembangunan nuklear dan peluru berpandu rahsia rejim.
-- BERNAMA