Korea Selatan keluarkan amaran tertinggi penularan wabak selesema burung H5N6

Agensi
Disember 16, 2016 11:51 MYT
Pihak berkuasa kesihatan sedang menanam ternakan yang sudah dilupuskan berikutan penularan wabak selesema burung. - Foto Yonhap/Reuters
Korea Selatan pada Jumaat mengeluarkan amaran tertinggi tentang wabak selesema burung buat kali pertama, sekali gus memberikan lebih kuasa kepada pihak berwajib untuk mengambil langkah mengawal penularan.
Perkembangan terbaru menyaksikan kira-kira 10 peratus daripada bekalan ternakan negara tersebut sudah dilupuskan.
Sejak kes pertama virus patogenik H5N6 disahkan pada pertengahan November lalu, ia telah merebak dengan cepat ke seluruh Korea Selatan, sementara 16 juta ayam dan itik terpaksa dihapuskan.
Sebelum ini, penularan wabak yang teruk di negara itu direkodkan pada 2014 aoabila hampir 14 juta unggas telah dilupus.
“Kami meningkatkan tahap amaran kepada ‘tahap sangat bahaya’ dalam usaha mengawal penularan selesema burung,” kata Menteri Pertanian, Kim Jae-Soo.
‘Tahap sangat bahaya’ adalah langkah terakhir dalam sistem amaran empat peringkat, dan ia bermakna pihak berkuasa berhak menahan pergerakan kenderaan yang membawa unggas, menutup kedai daging ternakan ayam dan itik, mahupun pusat penyembelihan.
Mereka juga akan melakukan vaksinasi kepada semua ternakan dan melakukan semburan nyahjangkit terhadap semua kenderaan di jalan raya.
“Kami menaikkan tahap amaran kerana realitinya kadar penularan dan jangkitan adalah tinggi,” ujar Kim.
Tindakan itu berpotensi menyebabkan kenaikan mendadak harga daging ayam dan telur di negara tersebut.
Harga telur semasa adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu, ujar Kim, yang turut memberi amaran tentang bekalan daging ayam dan itik yang mungkin terjejas.
Pihak berkuasa kesihatan pula kini menerima kritikan kerana gagal bertindak dengan cekap beriktan penularan itu, dan secara tidak langsung berkait dengan krisis politik yang lumpuh berikutan kes pendakwaan Presiden Park Geun-Hye.
Setakat ini tiada kes jangkitan kepada manusia daripada H5N6 di Korea Selatan, walaupun virus itu telah mengorbankan enam orang di China antara 2014 dan 2016.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah memberi amaran pada awal tahun ini bahawa srain virus itu menyebabkan jangkitan teruk kepada manusia.
#Korea Selatan #selesema burung #vaksinasi. amaran pemerintah #virus H5N6
;