Korea Selatan keluar nasihat agar berhati-hati dengan penggunaan DeepSeek atas faktor keselamatan
Bernama
Februari 7, 2025 19:17 MYT
Februari 7, 2025 19:17 MYT
SEOUL: Pengawal selia perlindungan data Korea Selatan pada Jumaat menasihatkan agar penggunanya berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek, berikutan kebimbangan keselamatan yang berterusan, lapor agensi berita Yonhap.
Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi (PIPC) mengeluarkan nasihat itu selepas beberapa kementerian Korea Selatan menyekat akses dalaman kepada perkhidmatan AI itu minggu ini berikutan kebimbangan terhadap amalan pengurusan data oleh Deepseek.
"Memandangkan kebimbangan keselamatan yang berterusan yang timbul semasa penggunaan perkhidmatan DeepSeek, (kami) menasihatkan agar ia digunakan dengan berhati-hati," kata PIPC dalam satu taklimat.
Badan perlindungan data itu berkata ia sedang menjalankan analisis terhadap data yang dihantar semasa menggunakan perkhidmatan itu dan merancang untuk mengambil langkah-langkah bagi memastikan penggunaan perkhidmatan itu tanpa kebimbangan mengenai data peribadi.
Nasihat dikeluarkan selepas PIPC menghantar pertanyaan kepada syarikat pemula China itu pada akhir bulan lepas untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar pengumpulan data peribadinya.
Menurut PIPC, ia membuat pertanyaan melalui pelbagai saluran, sambil menambah yang ia sedang bekerjasama dengan badan perlindungan data lain di seluruh dunia, termasuk Pejabat Pesuruhjaya Maklumat Britain, berkenaan isu ini.
PIPC juga merancang untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak China mengenai perkara ini melalui saluran diplomatik rasmi.
-- BERNAMA