Korea Selatan, AS, Jepun lancar sekretariat tiga pihak di Seoul

Bernama
November 20, 2024 06:30 MYT
Penubuhan sekretariat ini adalah sebahagian daripada perjanjian yang dicapai antara Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, Presiden AS Joe Biden, dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.
SEOUL: Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS), dan Jepun secara rasmi melancarkan sekretariat untuk kerjasama tiga pihak pada Rabu, selepas pengumumannya dibuat di sidang kemuncak pemimpin mereka minggu lepas, menurut Kementerian Luar Korea Selatan.
Menurut agensi berita Yonhap, Sekretariat Tiga Pihak itu ditubuhkan beberapa hari selepas pemimpin ketiga-tiga negara mengumumkan rancangan berkenaan semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Peru pada Jumaat lepas.
Penubuhan sekretariat ini adalah sebahagian daripada perjanjian yang dicapai antara Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol, Presiden AS Joe Biden, dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida semasa Sidang Kemuncak Camp David pada Ogos tahun lepas.
Pelancaran ini dilihat sebagai langkah konkrit untuk melaksanakan komitmen yang dikongsi oleh ketiga-tiga negara, termasuk meningkatkan penyelarasan tiga pihak bagi menangani cabaran bersama seperti ancaman ketenteraan Korea Utara.
Mesyuarat pertama sekretariat itu telah diadakan di Seoul, dan setiap negara akan bergilir-gilir memegang jawatan setiausaha agung serta menguruskan sekretariat setiap dua tahun, bermula dengan Korea Selatan, diikuti oleh AS dan Jepun, menurut kenyataan kementerian luar itu.
Dalam mesyuarat itu, ketiga-tiga negara "menilai kemajuan kerjasama tiga pihak sejak Sidang Kemuncak Camp David dan membincangkan struktur serta rancangan operasi sekretariat itu."
Kementerian itu turut berkata Korea Selatan, AS, dan Jepun akan bekerjasama dalam pelbagai projek meliputi bidang seperti keselamatan, ekonomi, teknologi canggih, dan pertukaran antara rakyat.
Inisiatif ini bertujuan untuk menginstitusikan serta memupuk perkembangan berterusan kerjasama tiga pihak.
-- BERNAMA
#Sekretariat Tiga Pihak #Korea Selatan #AS #Jepun
;