Korea Selatan, Jepun jalin hubungan lebih kukuh dalam dagangan selepas masuk 'senarai putih'

Bernama
Jun 30, 2023 20:46 MYT
Korea Selatan dan Jepun merupakan negara anggota IPEF, yang dilancarkan oleh Presiden AS Joe Biden pada Mei 2022 sebagai langkah untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu. - Gambar Astro AWANI
SEOUL: Korea Selatan dan Jepun bersetuju pada Jumaat untuk bekerjasama lebih rapat dan lebih meluas dalam pelbagai isu perdagangan pelbagai hala ekoran pemulihan hubungan dua hala baru-baru ini, kata kementerian industri Seoul, lapor Yonhap.
Perjanjian itu dibuat semasa pertemuan antara Menteri Perdagangan Korea Selatan Ahn Duk-geun dan Hirai Hirohide, naib menteri bagi hal ehwal antarabangsa kementerian perdagangan Jepun, di Seoul, berikutan keputusan Jepun untuk memasukkan semula Korea Selatan dalam senarai "Kumpulan A", atau senarai putih negara rakan dagangan yang dipercayai, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.
Ordinan yang disemak untuk memasukkan semula negara itu diumumkan pada Jumaat dan akan berkuatkuasa mulai 21 Julai.
Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan rundingan rapat bagi meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang keluli, tenaga dan bidang-bidang canggih serta ekonomi secara menyeluruh.
Mereka juga berjanji meneroka kaedah untuk berganding bahu dalam perdagangan global dan terma ekonomi, termasuk isu berkaitan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang diketuai Amerka Syarikat (AS).
Korea Selatan dan Jepun merupakan negara anggota IPEF, yang dilancarkan oleh Presiden AS Joe Biden pada Mei 2022 sebagai langkah untuk menentang pengaruh China yang semakin meningkat di rantau itu. Rundingan sedang dijalankan untuk menetapkan butiran inisiatif.
"Kepercayaan antara kedua-dua negara dalam bidang kawalan eksport kini pulih sepenuhnya. Korea Selatan dan Jepun akan dapat mempercepat pelaksanaan langkah susulan yang dipersetujui semasa rundingan sidang kemuncak baru-baru ini," kata Ahn.
Pada 2019, Tokyo menurunkan taraf Korea Selatan kepada "Kumpulan B" selepas mengenakan sekatan eksport ke atas tiga bahan utama industri sebagai tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Agung Korea Selatan pada tahun sebelumnya yang mengarahkan dua syarikat Jepun membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa Korea semasa pemerintahan kolonial Jepun 1910-45 di Semenanjung Korea.
Kedua-dua pihak bagaimanapun berbaik semula awal tahun ini selepas Korea Selatan mengumumkan rancangan untuk membayar pampasan kepada mangsa tanpa meminta sumbangan Jepun.
Jepun menarik balik sekatan eksport di Seoul pada Mac selepas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida bersetuju untuk melakukan usaha bersama untuk meningkatkan hubungan dua hala, dan Korea Selatan meletakkan Jepun kembali dalam senarai putihnya pada bulan berikutnya.
--BERNAMA-YONHAP
#Hubungan dua hala #buruh paksa #senarai putih #rakan dagangan
;