Korea Selatan hentikan siaran propaganda di sempadan Korea Utara

Agensi
April 23, 2018 22:38 MYT
Dalam foto 8 Jan 2016 ini, seorang askar Korea Selatan berdiri berdekatan pembesar suara di kawasan sempadan Korea Selatan dan Korea Utara di Yeoncheon, Korea Selatan. - Newsis melalui AP
Korea Selatan menghentikan siaran propaganda yang berkumandang di sempadan Korea Utara pada Isnin, menunjukkan nada positif dua negara berkenaan menjelang sidang kemuncak pertama dalam satu dekad antara pemimpin kedua-dua negara.
Tindakan itu diambil selepas Korea Utara serta-merta mengumumkan akan segera menggantung ujian nuklear dan peluru berpandu, memusnahkan tapak ujian nuklearnya dan meneruskan pertumbuhan ekonomi dan keamanan, satu deklarasi dialu-alukan oleh pemimpin dunia.
Siaran propaganda itu sering digunakan Korea Selatan bagi menghantar berita kepada rakyat Korea Utara yang dihalang dari mendapat apa-apa maklumat terkini.
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dijangka mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-In, di Panmunjom pada Jumaat dan dijangka bertemu dengan Presiden Donald Trump pada akhir Mei atau awal bulan Jun.
"Keputusan Korea Utara untuk membekukan program nuklearnya adalah satu keputusan yang penting.
"Ia adalah peluang positif di persidangan bersama Korea Utara dan Korea Selatan serta Amerika Syarikat. Sekiranya Korea Utara melancarkan denuclearization lengkap bermula hari ini, maka masa depan yang cerah untuk Korea Utara dapat dijamin," kata Moon Jae-in dalam pertemuan mingguan di Blue House pada Isnin.
#Donald Trump #Kim Jong Un #Korea Selatan #Korea Utara #krisis korea #Moon Jae-in
;