Korea Selatan gagal tangani penularan jenayah seks digital - Laporan

Agensi
Jun 16, 2021 11:31 MYT
Jenayah seks digital, atau perkongsian gambar dan video intim tanpa izin, menjadi masalah besar di negara itu. - Gambar hiasan
SEOUL: Pihak berkuasa Korea Selatan gagal untuk mengatasi jenayah seks digital ke atas wanita yang berleluasa di negara itu, hingga meninggalkan impak besar terhadap mangsa, lapor AFP.
Rumusan itu adalah berdasarkan laporan Human Rights Watch (HRW) pada Rabu.
Korea Selatan yang merupakan ekonomi ke-12 terbesar dunia dan pendahulu dalam kuasa teknologi, masih dilihat sebagai masyarakat yag didominasi lelaki dan memiliki rekod hak wanita yang rendah.
Jenayah seks digital, atau perkongsian gambar atau video intim tanpa izin, merupakan masalah besar di negara itu.
Penggunaan ‘molka’ atau kamera tersembunyi yang dipasang di tempat awam adalah sesuatu yang biasa. Terdapat juga ‘pornografi dendam’, iaitu video aksi seks persendirian yang disebarkan oleh pasangan yang tidak berpuas hati.
Pihak berkuasa Korea Selatan dalam sistem undang-undang jenayah, yang kebanyakannya lelaki, seringkali tidak memahami atau tidak mahu menerima hakikat bahawa ini adalah jenayah serius,” ujar penulis laporan HRW itu, Heather Barr.
Pada 2019, hampir 45 peratus kes jenayah seks digital digugurkan pihak mahkamah, berbanding 19 peratus kes rompakan dan 27.7 peratus kes bunuh, dedah laporan itu.
Walaupun ada sabitan kesalahan, hampir 80 peratus pelaku pada tahun lalu hanya menerima hukuman digantung kerja, denda atau kedua-duanya.
“Jenayah ini menjadi terlalu biasa, sangat ditakuti, dan member kesan mendalam terhadap kualiti hidup wanita dan kanak-kanak perempuan,” ujar Barr.
Kamera tersembunyi disalahgunakan secara berleluasa, hinggakan pegawai polis wanita perlu kerap memeriksa tandas awam, manakala ramai wanita mengakui sedaya upaya cuba mengelak dari menggunakan kemudahan awam itu.
Seorang mangsa memberitahu Barr, dia pernah dihadiahkan sebuah jam meja oleh rakan lelaki sepejabatnya, yang kemudian diletakkan di bilik tidurnya. Hanya selepas sebulan barulah wanita itu menyedari, aksinya di dalam bilik tidur itu distrimkan secara langsung untuk tontonan lelaki itu.
Mangsa-mangsa sering dimalukan, diperdaya dan berasa diri terasing dalam masyarakat kerana masalah seumpamanya sering tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Ada antara mangsa yang tertekan lalu terfikir untuk membunuh diri, lapor HRW.
#Korea Selatan #jenayah #seks #digital #pihak berkuasa #hak wanita #Seoul #kamera tersembunyi #diskriminasi
;