Korea Selatan, AS dan negara lain mulakan operasi 'Christmas Drop'

Bernama
Disember 5, 2022 14:15 MYT
Ahli Tentera Udara Amerika Syarikat bersama dengan ahli Operation Christmas Drop dan beberapa orang awam pada hari pertama penghantaran ke pulau-pulau terpencil Pasifik - Gambar FB Operation Christmas Drop
SEOUL: Tentera Udara Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan tiga negara lain pada Ahad memulakan operasi 'Christmas Drop' bagi menghantar ubat-ubatan dan keperluan asas lain secara tahunan ke pulau-pulau terpencil Pasifik menjelang musim Krismas.
Operasi kemanusiaan itu diketuai Tentera Udara Pasifik AS, termasuk menghantar pakaian dan keperluan lain kepada penduduk Micronesia, lapor Agensi Berita Yonhap.
Australia, New Zealand dan Jepun turut mengambil bahagian dalam misi yang dijalankan hingga Jumaat.
Dilancarkan pada 1952, operasi itu merupakan operasi kemanusiaan paling lama oleh tentera udara AS.
Korea Selatan mengambil bahagian dalam operasi tahunan itu sejak tahun lepas atas jemputan Tentera Udara AS.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Korea Selatan #Christmas Drop #Christmas
;