Korea Selatan, AS dan beberapa negara kutuk kekejaman tentera Myanmar

Bernama
Februari 1, 2024 12:02 MYT
Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Feb 2021 dan merampas kuasa.- Gambar fail/AP
SEOUL: Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain mengeluarkan kenyataan bersama pada Khamis yang menggesa tentera Myanmar segera menghentikan semua keganasan terhadap orang awam.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim tentera yang berterusan dan pencabulan hak asasi manusia, seperti keganasan seksual dan sekatan kebebasan, termasuk kebebasan bersuara," menurut kenyataan itu pada ulang tahun ketiga rampasan kuasa tentera.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh wakil tinggi Kesatuan Eropah (EU) dan menteri luar Korea Selatan, AS, United Kingdom (UK), Australia, Kanada, New Zealand, Norway dan Switzerland.
"Tiga tahun selepas rampasan kuasa tentera, kami terus bersolidariti dengan rakyat Myanmar dan keinginan mereka untuk demokrasi yang inklusif dan tulen," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyeru tentera untuk membebaskan semua tahanan politik yang ditahan secara tidak adil, membenarkan sepenuhnya akses kemanusiaan dan mewujudkan ruang untuk dialog inklusif dengan semua pihak berkepentingan.
Wakil-wakil berkenaan juga menggesa sokongan masyarakat antarabangsa dalam usaha mendesak tentera Myanmar menamatkan keganasan dan menghentikan bekalan senjata serta peralatan yang digunakan untuk melakukan kekejaman.
Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Feb 2021 dan merampas kuasa.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #Amerika Syarikat #Myanmar #keganasan terhadap orang awam
;