Korea Selatan catat suhu tertinggi pada 2023

Bernama
Januari 3, 2024 15:32 MYT
Pada Disember, beberapa wilayah mencatatkan suhu tertinggi pada bulan itu, dengan beberapa kawasan melebihi 20C pada waktu siang pada 8 Dis. - Gambar fail/Reuters
SEOUL: Korea Selatan mengalami tahun paling panas dalam sejarahnya pada 2023, memecahkan rekod dicatatkan sebelum ini yang disebabkan oleh kesan pemanasan global yang meningkatkan suhu purata kepada 13.7 darjah Celcius (C) sepanjang tahun.
Peningkatan ketara suhu itu menandakan peristiwa penting, mengatasi rekod sebelum ini yang dicatatkan pada 2016 iaitu 13.4C, lapor Agensi Berita Yonhap memetik Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
KMA juga menganggap tahun ini sebagai titik permulaan penting untuk rekod cuaca di Korea Selatan.
Jangkaan terhadap cuaca panas yang tidak pernah berlaku sebelum ini adalah jelas memandangkan peningkatan suhu secara konsisten di seluruh negara dari Januari hingga November, dengan tempoh enam bulan disenaraikan sebagai antara 10 tempoh paling panas dalam rekod.
Malah pada bulan terakhir tahun itu, cuaca panas berterusan kecuali tempoh sejuk yang singkat pada pertengahan Disember apabila negara mengalami suhu di bawah paras beku dari 16 hingga 25 Dis.
Pada Disember, beberapa wilayah mencatatkan suhu tertinggi pada bulan itu, dengan beberapa kawasan melebihi 20C pada waktu siang pada 8 Dis.
Anomali ini menyumbang kepada trend pemanasan keseluruhan dan menambah kepada statistik luar biasa bagi tahun paling panas pernah direkodkan di Korea Selatan.
Pada masa yang sama, negara itu menyaksikan peningkatan ketara dalam hujan tahunan, mencapai 1,740.3 milimeter (mm) pada 2023 iaitu paras kedua tertinggi sejak 2003.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #tahun paling panas #pemanasan global #suhu tertinggi
;