'Korea Selatan bukan tandingan' - Kim Yo Jong umum Pyongyang tidak akan serang Seoul

Bernama
April 5, 2022 11:40 MYT
YO JONG: Kami tidak akan melepaskan walau sebutir peluru ke arah Korea Selatan kerana kami tidak menganggapnya sebagai tandingan kepada angkatan tentera kami. -Gambar fail/Reuters
SEOUL: Korea Selatan bukan tandingan dan juga bukan "musuh utama" Korea Utara, kata Kim Yo Jong, kakak kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, lapor Yonhap.
"Jika tiada sesiapa cuba lakukan provokasi terhadap kami, kami tidak akan ambil apa-apa tindakan untuk menyerang.
"Kami tidak akan melepaskan walau sebutir peluru ke arah Korea Selatan.
"Kerana kami tidak menganggapnya sebagai tandingan kepada angkatan tentera kami," katanya memetik laporan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Kim Yo Jong berkata demikian sebagai reaksi balas kepada kenyataan ketua pertahanan Korea Selatan mengenai keupayaan tentera negara itu.
Beliau berkata walaupun Korea Utara menentang peperangan yang boleh mencetuskan "bencana" kepada Semenanjung seperti yang berlaku pada 1950-an, keadaan boleh berubah, bergantung kepada tindakan Korea Selatan.
"Andai Korea Selatan memilih konfrontasi ketenteraan dengan kami, pasukan tempur nuklear kami akan jalankan tugasnya," katanya.
-- BERNAMA
#Kim Jong Un #Kim Yo Jong #serang korea selatan #Pyongyang
;