Korea Selatan buat keputusan lepas status negara membangun di WTO

Bernama
Oktober 25, 2019 14:16 MYT
Korea Selatan memenuhi kesemua empat kriteria yang boleh menjejaskan usahanya untuk mengekalkan status negara membangun. - Gambar fail
Korea Selatan pada Jumaat berkata ia telah membuat keputusan untuk melepaskan status negara membangunnya di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam satu konsesi kepada Amerika Syarikat (AS) berkaitan pembaharuan badan perdagangan global itu, lapor agensi berita Yonhap.
Menteri Kewangan Hong Nam Ki berkata terdapat sedikit kemungkinan bahawa komuniti antarabangsa boleh mengiktiraf Korea Selatan sebagai sebuah negara membangun dalam rundingan WTO pada masa akan datang dan berkata kelewatan Korea Selatan membuat keputusan mampu menjejaskan kuasa perundingannya.
"Kami berada dalam situasi yang sukar untuk diiktiraf sebagai sebuah negara membangun lebih lama dalam komuniti antarabangsa berdasarkan kedudukan ekonomi Korea Selatan," kata Hong dalam satu sidang akhbar di kementerian luar di pusat bandar Seoul.
Pengumuman itu dibuat semasa Presiden AS Donald Trump berusaha memastikan negara-negara yang mengisytiharkan sendiri statusnya sebagai membangun tidak mengambil kesempatan ke atas layanan istimewa dan berbeza yang datang dengan status itu.
Trump telah memberi amaran bahawa AS tidak lagi akan melayan mana-mana anggota WTO yang dianggap Washington sebagai negara membangun jika tiada kemajuan besar dibuat bagi membaik pulih peraturan-peraturan badan perdagangan yang berpangkalan di Geneva itu menjelang pertengahan Oktober.
AS telah mencadangkan agar WTO menggugurkan status membangun mana-mana negara jika ia memenuhi kriteria tertentu -- menjadi anggota Kumpulan 20 ekonomi maju, menjadi anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, merupakan negara berpendapatan tinggi seperti yang diklasifikasikan oleh Bank Dunia dan mengambil sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada jumlah perdagangan global.
Korea Selatan memenuhi kesemua empat kriteria yang boleh menjejaskan usahanya untuk mengekalkan status itu.
Korea Selatan telah mengekalkan status sebagai sebuah negara membangun sejak 1995 bagi melindungi industri pertaniannya yang sensitif, terutama beras.
Isu keistimewaan negara membangun adalah mengenai pelbagai hala pada masa depan, yang bermaksud subsidi pertanian Korea Selatan dan tarif pertaniannya tidak akan terjejas meskipun jika Seoul memutuskan untuk melepaskan status itu.
Bagaimanapun, petani tempatan telah menyuarakan bantahan mereka terhadap langkah yang mungkin dilakukan untuk menggugurkan status itu.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Donald Trump #ekonomi #Kementerian Luar #konsesi #Korea Selatan #Korea Utara #Pertubuhan Perdagangan Dunia #rundingan #status negara membangun #subsidi #Washington #WTO
;