Korea Selatan boleh beri bantuan ketenteraan ke Ukraine jika Rusia sasar orang awam - Presiden Yoon
Bernama
April 19, 2023 18:28 MYT
April 19, 2023 18:28 MYT
SEOUL: Presiden Yoon Suk Yeol berkata Korea Selatan boleh memberikan bantuan melangkaui bantuan kemanusiaan atau kewangan jika Ukraine diserang secara besar-besaran membabitkan orang awam, menurut satu wawancara yang diterbitkan pada Rabu.
Yoon membuat kenyataan itu dalam temu bual dengan Reuters menjelang lawatannya yang akan datang ke Amerika Syarikat, menyaksikan perubahan dalam dasar Seoul yang sebelum ini tidak menyediakan senjata pemusnah kepada Ukraine.
"Sekiranya terdapat situasi yang tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa, seperti serangan besar-besaran terhadap orang awam, pembunuhan beramai-ramai atau pelanggaran serius undang-undang perang, mungkin sukar bagi kita untuk mendesak hanya sokongan kemanusiaan atau kewangan," kata Yoon, menurut Reuters.
Yoon juga berkata beliau tidak bercadang untuk mengadakan sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un hanya untuk pertunjukan, tetapi ruang untuk dialog kekal terbuka.
Korea Selatan juga sedang membangunkan senjata berpotensi tinggi dan berkuasa tinggi untuk menghadapi ancaman Korea Utara, katanya.
-- BERNAMA