Korea Selatan: Bilangan doktor bilik kecemasan turun lebih 40 peratus - Tinjauan

Bernama
September 12, 2024 18:06 MYT
Di Seoul, bilangan doktor bilik kecemasan menurun 39.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah pakar menurun empat peratus. - Gambar hiasan/Pexels
SEOUL: Bilangan doktor bilik kecemasan menurun lebih 40 peratus di Korea Selatan manakala tujuh hospital sedang mempertimbangkan untuk menggantung sebahagian perkhidmatan penjagaan kecemasan, menurut satu tinjauan pada Khamis, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut tinjauan yang dijalankan oleh Majlis Profesor Perubatan Kebangsaan, seramai 535 doktor berkhidmat di 53 hospital pengajar utama di seluruh negara setakat Selasa, turun daripada 914 tahun lepas.
Daripada doktor yang sedang berkhidmat, hanya 33 adalah doktor pelatih berbanding 386 tahun lalu.
Majoriti doktor pelatih telah meninggalkan tempat kerja mereka sejak Februari sebagai membantah rancangan kerajaan untuk meningkatkan kuota pengambilan pelajar sekolah perubatan sekitar 2,000 orang setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang bagi menangani kekurangan doktor.
Majlis itu menyatakan bahawa daripada 53 hospital, tujuh mempunyai kurang daripada lima doktor yang ditugaskan di bilik kecemasan dan terpaksa mempertimbangkan penutupan sebahagian operasi bilik kecemasan mereka akibat kekurangan kakitangan.
Menurut tinjauan itu, keadaan lebih teruk di kawasan luar Seoul.
Di Seoul, bilangan doktor bilik kecemasan menurun 39.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah pakar menurun empat peratus.
Di bandar barat Incheon, jumlah keseluruhan doktor menurun 8.9 peratus berbanding tahun lalu, tetapi bilangan pakar pula meningkat 20.7 peratus.
Bagaimanapun, di bandar tengah Daejeon dan Wilayah Chungcheong, bilangan doktor bilik kecemasan menurun sebanyak 58 peratus manakala bandar pelabuhan selatan Busan mencatatkan penurunan sebanyak 53.6 peratus.
Bilangan doktor bilik kecemasan di bandar barat daya Gwangju dan kawasan sekitarnya juga merosot sebanyak 51.2 peratus berbanding tahun lepas.
"Tinjauan itu menggambarkan dengan jelas bahawa sistem perubatan kecemasan dan penjagaan kesihatan negara sedang runtuh, dan kawasan luar Seoul lebih teruk terjejas," kata seorang pegawai majlis itu.
Doktor telah menyeru kerajaan untuk mengkaji semula keputusan kenaikan kuota dari awal, dengan menyatakan bahawa langkah itu tidak akan menyelesaikan kekurangan doktor di kawasan luar bandar dan bidang penjagaan kesihatan penting, malah ia akan menjejaskan kualiti pendidikan perubatan dan perkhidmatan perubatan negara secara keseluruhan.
-- BERNAMA
#Doktor #bilik kecemasan #Korea Selatan #bilangan doktor menurun
;