Korea Selatan bersiap sedia lancarkan roket buatan sendiri ke angkasa
Bernama
Jun 21, 2022 14:51 MYT
Jun 21, 2022 14:51 MYT
SEOUL: Korea Selatan pada Selasa bersiap sedia melancarkan roket buatan sendiri Nuri dalam percubaan kali kedua memasuki orbit, misi kritikal untuk program angkasa lepas negara itu, lapor agensi berita Yonhap.
Roket Nuri seberat 200 tan dijangka berlepas dari Pusat Angkasa Naro di Goheung lebih kurang pukul 4 petang, menurut Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI).
Korea Selatan merancang untuk melancarkan roket pada Khamis lalu, tetapi berdepan masalah teknikal sehingga terpaksa menangguhkan operasi itu.
Dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan pelancaran Nuri pada Isnin, Kementerian Sains dan KARI menjalankan pemeriksaan teknikal terakhir terhadap Nuri dan mendapati tiada sebarang masalah.
Cuaca juga diramal baik pada hari pelancaran.
Sekiranya Nuri berjaya memasuki orbit, Korea Selatan bakal menjadi negara ketujuh di dunia yang melancarkan roket dengan muatan satu tan ke angkasa lepas, selepas Rusia, Amerika Syarikat, Perancis, China, Jepun dan India.
Pelancaran ini merupakan yang kedua selepas percubaan pertamanya berakhir dengan kegagalan.
Pada Oktober lalu, Nuri berjaya terbang pada ketinggian sasarannya 700 kilometer tetapi gagal memasuki orbit kerana enjin peringkat ketiganya terbakar lebih awal daripada sepatutnya. - BERNAMA