Korea Selatan bakal lancar garis panduan 'Hidup Bersama COVID-19'

Bernama
Oktober 29, 2021 18:50 MYT
Langkah-langkah pencegahan COVID-19 itu dilonggarkan apabila lebih 70 peratus populasi Korea Selatan lengkap divaksinasi. - Gambar fail
SEOUL: Korea Selatan merancang melancarkan garis panduan "hidup bersama COVID-19" pada bulan depan memandangkan kadar peratusan penduduk lengkap vaksinasi COVID-19 hampir mencecah 70 peratus, menurut Kementerian Kesihatan dan Kebajikan pada Jumaat.
Bermula 1 November, sekatan waktu perniagaan beberapa kemudahan awam termasuk restoran dan kafe, akan ditarik balik kecuali kelab malam.
Garis panduan itu mempunyai tiga peringkat, di bawah fasa pertama pusat hiburan lain akan dibenarkan beroperasi sehingga tengah malam, menurut Xinhua.
Buat masa ini, restoran dan kafe dibenarkan dibuka sehingga 10 malam waktu tempatan di Seoul, manakala di beberapa kawasan lain waktu perniagaan dihadkan sehingga tengah malam.
Bilangan maksimum untuk aktiviti perhimpunan persendirian akan dinaikkan kepada 10 orang di kawasan metropolitan tanpa mengira status vaksinasi, berbanding lapan sebelum ini.
Di kawasan bukan metropolitan pula jumlahnya akan ditambah kepada 12 orang berbanding 10.
Bagi mereka yang masih belum lengkap vaksinasi, hanya maksimum empat orang dibenarkan duduk semeja di restoran dan kafe.
Selain itu, sistem "pas vaksin" yang akan diperkenalkan bakal memberikan masa kepada pengguna supaya mereka dapat menunjukkan sijil vaksinasi atau keputusan saringan negatif ketika melawat fasiliti berisiko seperti kelab malam, karaoke, spa, kemudahan sukan tertutup, kelab lumba kuda, trak lumba basikal dan kasino serta institusi perubatan.
Langkah-langkah pencegahan COVID-19 itu dilonggarkan apabila lebih 70 peratus populasi Korea Selatan lengkap divaksinasi.
Korea Selatan melaporkan 2,124 lagi kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 360,536.
Fasa pertama garis panduan baharu akan dikuat kuasa selama enam minggu. Di bawah fasa kedua pula sekatan waktu operasi pusat hiburan akan ditarik balik.
Di bawah fasa ketiga pula had bilangan jumlah orang yang boleh menyertai perhimpunan persendirian bakal dimansuhkan.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #COVID-19 #kelonggaran sekatan #kesihatan
;