Korea Selatan akan lancar satelit pengawasan tentera pertama pada November
Bernama
Februari 17, 2023 12:41 MYT
Februari 17, 2023 12:41 MYT
SEOUL: Korea Selatan merancang melancarkan satelit pengawasan tentera yang pertama pada November menerusi penempatan lima satelit menjelang pertengahan 2020-an, menurut pihak berkuasa perolehan senjata negara itu pada Jumaat.
Pada taklimat kepada jawatankuasa pertahanan Dewan Negara, Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) mengumumkan rancangan untuk melancarkan satelit elektro-optik dan inframerah (EO/IR) bernilai 1.2 trilion won (AS$927 juta), menurut Agensi Berita Yonhap.
Bersama satelit EO/IR, negara itu berusaha untuk mendapatkan empat radar apertur sintetik (SAR) untuk Seoul meningkatkan keupayaan pengawasan dan mengurangkan pergantungan kepada sumber risikan asing.
Sebaik satelit beroperasi, ia dijangka meningkatkan keupayaan Korea Selatan untuk memantau dan menjejaki pergerakan tentera Korea Utara.
Korea Selatan berusaha membangunkan keupayaan pertahanan berasaskan angkasa lepas ketika mesyuarat utama parti pemerintah Korea Utara pada akhir tahun lepas merancang melancarkan satelit pengawasan ketenteraan seawal mungkin.
-- BERNAMA