Korea Selatan akan ambil lebih ramai pekerja asing di tengah-tengah krisis populasi
Bernama
Julai 7, 2023 17:34 MYT
Julai 7, 2023 17:34 MYT
SEOUL: Korea Selatan akan mencari jalan untuk mengambil lebih ramai pekerja asing, susulan masalah kadar kelahiran yang rendah dan kekurangan tenaga kerja, menurut Kementerian Kewangan pada Jumaat.
"Kita perlu bekerjasama untuk mencapai konsensus sosial bahawa kemasukan dan penerimaan pekerja asing dan melaksanakan dasar imigresen sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan," lapor Agensi Berita Yonhap memetik Naib Menteri Kewangan Pertama Bang Ki Sun semasa mesyuarat mengenai dasar pekerja asing.
Mesyuarat itu diadakan ketika Korea Selatan mencari jalan untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing, memandangkan jumlah pekerjanya dijangka seramai 33.81 juta pada 2030, merosot secara mendadak daripada 37.63 juta yang direkodkan pada 2019.
"(Penurunan) dijangka menjurus kepada kekurangan tenaga kerja dalam pasaran buruh dengan pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan," kata Bang.
Kerajaan Korea Selatan baru-baru ini memutuskan untuk menambah bilangan pekerja asing mahir yang layak mendapat visa E-7, yang diberikan kepada mereka yang mempunyai kebolehan istimewa, kepada 30,000 pada 2023, berbanding 2,000 pada tahun sebelumnya.
"Kami secara proaktif akan menilai potensi dan cabaran sosial dan ekonomi yang mungkin timbul susulan peningkatan jumlah kemasukan dan pada masa yang sama memperbaiki keadaan penempatan dan menggalakkan integrasi sosial," kata Bang.
Jumlah kadar kesuburan Korea Selatan, mencecah rekod rendah 0.78 pada 2022, jauh lebih rendah daripada tahap penggantian 2.1 yang akan mengekalkan populasi Korea Selatan stabil pada 51 juta.
Kerajaan merancang mengumumkan pelan tindakan dasar imigresen pada separuh kedua 2023.
-- BERNAMA