Korban taufan di Haiti melebihi 470 orang, mangsa masih tunggu bantuan

Agensi
Oktober 12, 2016 09:18 MYT
Salah sebuah rumah yang musnah teruk akibat dilanda Taufan Matthew di Port Salut, haiti. - Foto AFP
Sekurang-kurangnya 473 orang disahkan menjadi korban bencana Taufan Matthew yang melanda Haiti minggu lalu, sementara komuniti yang terjejas teruk kini berdepan cabaran membina rumah baharu, serta mendapatkan bekalan makanan dan air bersih.
Haiti kini dalam hari perkabungan bagi mengingati mangsa korban ribut maut tersebut, yang juga menyebabkan lagi 75 orang hilang dan 330 lagi cedera, lapor AFP.
Lebih daripada 175,500 orang masig berlindung di pusat penempatan sementara di seluruh Haiti, dengan kebanyakannya di kawasan sekolah, hingga menyebabkan 100,000 murid tidak dapat meneruskan sesi persekolahan.
Matthew membadai negara miskin itu ketika rakyatnya sedang berdepan wabak kolera, yang kini dikhuatiri memburuk. Pertibuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa berikrar untuk menghantar sejuta dos vaksin kolera ke Haiti.
Dua stesen penyulingan air juga tiba di Port-au-Prince pada Selasa sebagai bantuan awal dari Perancis. Itu termasuk 69 tan ubat-ubatan dan kit anti-kolera.
Setiap stesen penyulingan air itu menghasilkan 250,000 liter air minuman setiap hari.
Sementara itu, kerosakan teruk pada jaringan jalan raya dan rangkaian komunikasi dilihat membantutkan usaha menyampaikan bantuan di sesetengah kawasan.
Ramai penduduk yang masih bersusah payah mendapatkan air bersih dan makanan sambil cuba membina semula kediaman masing-masing dari material yang tersisa.
Di beberapa kawasan terjejas, terdapat keluarga yang cuba membina semula tempat tinggal menggunakan kepingan atap timah yang dibeli pada harga melambung tinggi. Namun, bagi kelompok yang tidak berkemampuan, nasib meeka tidak menentu berikutan tiada tempat berlindung daripada terik matahari, hujan ataupun gigitan nyamuk.
Sementara itu, bagi mangsa taufan yang miskin dan berada di kawasan yang belum mendapat akses bantuan, mereka meneruskan hidup dengan mengisi perut dengan memakan isi kelapa yang gugur dari pokoknya.
#air bersih #bantuan kemanusiaan #bina kediaman #Haiti #Taufan matthew #wabak kolera #WHO
;