Korban serangan tentera penceroboh Israel meningkat kepada 7,028 orang

Bernama
Oktober 26, 2023 23:14 MYT
Angka kematian di Semenanjung Gaza mencecah 7,028 orang, termasuk 2,913 kanak-kanak, 1,709 wanita dan 397 warga emas. - AP
GAZA: Jumlah rakyat Palestin yang terkorban akibat serangan udara tentera penceroboh Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lalu, kini meningkat kepada 7,028 orang, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza pada Khamis.
Jurucakap kementerian Ashraf al-Qedra pada sidang media berkata angka kematian akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza mencecah 7,028 orang, termasuk 2,913 kanak-kanak, 1,709 wanita dan 397 warga emas.
Sejumlah 18,484 lagi rakyat Palestin cedera, katanya, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata tentera penceroboh Israel melakukan 43 pembunuhan beramai-ramai dalam tempoh 24 jam lepas, mengorbankan 481 orang, sebahagian besar mangsa terdiri mereka yang berpindah ke selatan Semenanjung Gaza yang didakwa selamat oleh Israel.
"Tentera penceroboh Israel dengan sengaja melakukan 731 pembunuhan beramai-ramai. Kami menerima 1,650 laporan orang hilang, termasuk 940 kanak-kanak," katanya.
Selain itu, sebanyak 57 kemudahan penjagaan kesihatan turut menjadi sasaran, menyebabkan 12 hospital dan 32 pusat penjagaan tidak dapat beroperasi selain mengorbankan 101 pegawai perubatan.
Beliau berkata Israel mahu menghapuskan sistem penjagaan kesihatan dengan menyekat penghantaran bahan api dan bekalan perubatan penting.
Al-Qedra berkata hospital turut dijadikan tempat perlindungan untuk puluhan ribu orang, dengan keadaan serba kekurangan akan menyumbang kepada penularan wabak dan penyakit berjangkit.
Sejumlah 2.3 juta penduduk Gaza kini kehabisan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api manakala konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya dapat membawa sebahagian kecil bantuan kemanusiaan yang diperlukan.
-- BERNAMA
#Palestin #angka korban #Gaza #tentera Israel
;