Korban meningkat 8 orang, pengganas disahkan hanya empat orang

Bernama
Januari 17, 2016 22:46 MYT
Polis juga mengesahkan mayat seorang lelaki yang sebelum ini disyaki sebagai pengganas dan dikenali sebagai Sugito didapati adalah orang awam. - Gambar fail
Seorang mangsa orang awam yang parah dalam serangan bom dan senjata api di Jalan MH Thamrin, Khamis lepas meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah mereka yang maut meningkat kepada lapan orang.
Lelaki yang dikenali sebagai Rais Karna, 37, yang parah akibat terkena tembakan di kepala meninggal dunia setelah koma selama tiga hari di Hospital Polis Republik Indonesia di sini.
Ini disahkan Ketua Bahagian Kedoktoran dan Kesihatan Polis Daerah Metro Jaya, Musyafak yang turut memberitahu pemberita di sini hari ini, seorang warga Austria yang parah, Manfred Stoif, 48, pula telah diterbangkan ke Singapura untuk mendapatkan rawatan di sana.
Katanya Stoif dipindahkan atas permintaan keluarganya yang tinggal di Singapura.
Keadaan Stoif dilaporkan stabil dan sebelum ini dimasukkan ke Rumah Sakit Abdi Waluyo, Menteng, Jakarta Pusat.
Sementara itu, Ketua Bahagian Hubungan Manusia Polis Daerah Metro Jaya, M.Iqbal berkata polis juga turut mengesahkan mayat seorang lelaki yang sebelum ini disyaki sebagai pengganas dan dikenali sebagai Sugito didapati adalah orang awam.
Katanya Sugito, warga Karawang dari Jawa Barat adalah mangsa dalam kejadian serangan bom itu dan mayatnya telah dikenal pasti anggota keluarganya.
Beliau berkata Sugito, seorang tukang masak, dikatakan sedang melintas jalan di tempat kejadian ketika berlaku serangan berkenaan.
Iqbal berkata polis sebelum ini mencurigai identiti Sugito kerana ketika polis mengunjungi rumahnya untuk pemeriksaan, rumah itu didapati kosong.
Katanya dengan perkembangan terbaru itu, jumlah suspek pengganas yang terbabit dengan serangan bom itu ialah empat orang dan mereka dikenali sebagai Dian Juni Kurniadi, Muhamad Ali, Afif @ Sunakim dan Ahmad Muhazan Saron.
Sementara itu, media tempatan melaporkan penduduk di Desa Kedungwungu Krangkeng Indramayu, Jawa Barat hari ini membuat demonstrasi menolak jenazah Ahmad Muhazan daripada dikebumikan di kampung halamannya.
Mereka memasang sepanduk dengan tulisan 'Kami menolak jenazah teroris' di merata tempat di Desa Kedungwungu dan sekitarnya.
Seorang pemimpin kampung itu yang dikenali sebagai Nasrullah berkata warga kampung itu tidak boleh menerima manusia yang radikal dan apa yang dilakukan Ahmad Muhazan telah mencemarkan nama kampung mereka.
"Golongan pemuda, tokoh masyarakat, dan tokoh agama Desa Kedungwungu sudah sepakat menolak jenazah Azan (Ahmad Muhazan), walaupun orang tuanya mempunyai tanah sendiri untuk mengebumikan jenazahnya," kata beliau.
Ahmad Muhazan, 26, antara pengganas yang disahkan maut akibat letupan bom di tangan sendiri ketika cuba membuat serangan.
Dalam perkembangan lain, polis menahan 12 orang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki yang sangat dikehendaki polis, Bahrun Naim.
Jurucakap Markas Besar Polis, Anton Charliyan berkata kesemua yang ditahan di beberapa tempat berasingan itu adalah kelompok radikal lama dan sebahagian daripadanya mempunyai jaringan latihan pengganas di Aceh yang telah dilumpuhkan beberapa tahun lepas.
Polis juga telah membuat serbuan di beberapa daerah seperti Bekasi, Cirebon, Jawa Barat dan Kalimantan Timur selain merampas sembilan senjata api, telefon bimbit dan motosikal.
Seorang daripada 12 orang yang ditahan itu dipercayai menerima kiriman dana daripada kumpulan pengganas Daish bagi membiayai aktiviti keganasan di Negara berkenaan.
#Jakarta #Jalan MH Thamrin #maut #Rais Karna #serangan bom
;