Korban gempa Jawa Barat meningkat kepada tiga mangsa

Astro Awani
Disember 16, 2017 17:00 MYT
Korban gempa 6.9 magnitud yang berpusat di Tasikmalaya, Jawa Barat, meningkat kepada tiga orang setakat jam 3 petang, Sabtu. -AP
Korban gempa 6.9 magnitud yang berpusat di Tasikmalaya, Jawa Barat, meningkat kepada tiga orang setakat jam 3 petang hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pusat Data, Informasi, dan Hubungan Manusia di Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dalam satu sidang media pada Sabtu.
"Setakat hari ini, tercatat tiga orang meninggal. Dua daripadanya tertimpa tembok rumah yang roboh," kata Sutopo sepertimana dilapor portal detik.com.
Tiga mangsa itu dikenal pasti sebagai Aminah, 80 tahun; Ibu Hj Dede Lutfi, 62; dan mangsa terbaharu ialah Fatimah, 34.
Menurut Sutopo, data BNPB menyebut sejumlah 208 buah rumah rosak teruk dalam kejadian awal pagi Sabtu yang turut menjejaskan lebih 700 rumah yang lain.
BACA: Gempa bumi kuat landa selatan pulau Jawa Indonesia, 2 maut
Agensi bencana kebangsaan Indonesia berkata pihaknya mengaktifkan amaran tsunami di selatan pulau itu, namun Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan tiada sebarang kesan tsunami dicatatkan.
Kesan gegaran turut dapat dirasai di tengah dan barat Jawa.
Gempa juga menyebabkan beberapa bangunan tinggi di ibu negara Jakarta bergoyang.
Jawa adalah pulau dengan sejumlah 145 juta penduduk.
#Aminah #Fatimah #gempa bumi #Ibu Hj Dede Lutfi #Indonesia #Jakarta #Sutopo Purwo Nugroho
;