Korban gelombang haba meningkat kepada 14, ternakan mati cecah 300,000 di Korea Selatan
Bernama
Ogos 6, 2024 16:53 MYT
Ogos 6, 2024 16:53 MYT
SEOUL: Dua wanita berusia 70-an maut akibat panas melampau, menjadikan jumlah kematian kerana gelombang haba tahun ini kepada 14 orang di Korea Selatan, kata kementerian dalam negeri pada Selasa.
Pada Ahad, seorang wanita berusia 71 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya di Seoul dan kemudian meninggal dunia akibat penyakit berkaitan haba. Seorang lagi wanita berusia 78 tahun meninggal dunia pada hari yang sama ketika bekerja di sebuah ladang di Goheung, 328 kilometer di selatan Seoul, kata kementerian itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Kematian itu menjadikan jumlah kematian gelombang haba pada tahun ini kepada 14 pada Ahad, dengan jumlah pesakit yang menghidap penyakit berkaitan haba berjumlah 1,690.
Dari 11 Jun hingga Isnin, 303,000 ternakan mati akibat panas melampau, termasuk 277,000 poltri.
Pada Selasa, kebanyakan bahagian negara berada di bawah amaran gelombang haba.
Agensi cuaca telah meramalkan bahawa gelombang haba mungkin berterusan sehingga sekurang-kurangnya 15 Ogos.
-- BERNAMA