Korban Florence: Kira-kira 1.7 juta ayam mati lemas gara-gara banjir, babi pun tak terkecuali

Agensi
September 19, 2018 14:10 MYT
Salah sebuah ladang ternakan ayam yang ditenggelami air di Trenton, North Carolina. - AP
Sekurang-kurangnya 1.7 juta ekor ayam terkorban akibat ditenggelami banjir selepas Taufan Florence di North Carolina.
Agensi berita AP melaporkan, banjir itu terjadi selepas paras air dari rangkaian sungai di negeri itu melimpah lalu menenggelamkan sekurang-kurangnya 60 kawasan ternakan.
Salah satunya, Sanderson Farms, pada Selasa memberitahu, kerugian besar dilaporkan di banyak ladang ternakan bebas.
Syarikat itu bagaimanapun berkata, kemudahan fizikal di ladangnya tidak mengalami kerosakan besar, namun yang terjejas adalah rantaian bekalan selain operasi yang terhenti akibat jalan penghubung yang terputus akibat ditenggelami air bah.
Sementara itu, ladang-ladang lain memberitahu, jalan yang terputus menghalang penghantaran makanan untuk haiwan ternakan, sekali gus meningkatkan risiko kematian yang lebih banyak.
Selain ayam, banyak babi juga terkorban dalam bencana itu namun angkanya masih belum diterima.
Wakil industi ternakan babi berkata para penternak bertungkus-lumus cuba menyelamatkan ternakan mereka sebelum dan selepas taufan.
Pada 2016, industri berkenaan kehilangan kira-kira 2,800 babi ketika Taufan Matthew membadai negeri tersebut.
Meskipun pada Selasa matahari kembali menyinar di beberapa negeri yang sudah dilanda Florence, banjir besar masih belum menunjukkan tanda akan menyusut, malah bakal menjadi lebih teruk di sesetengah kawasan.
Ancaman persekitaran juga tercetus daripada tapak-tapak buangan sisa kumbahan manusia yang terletak di kawasan rendah.
Pada Ahad, pihak berkuasa Cape Fear melaporkan bahawa lebih 5 juta gelen sisa kumbahan telah melimpah ke dalam Sungai Cape FEar selepas loji rawatan terputus bekalan elektrik.
#Ayam #Babi #banjir #bencana #mangsa #sisa kumbahan #taufan florence #ternakan
;