Korban banjir di Kenya meningkat kepada 174 orang

Bernama
Disember 20, 2023 11:30 MYT
Penduduk berpaut pada pokok ketika meredah banjir di Garsen, Kenya. - Foto REUTERS
NAIROBI: Jumlah korban akibat hujan lebat dan banjir kilat di Kenya mencecah 174 orang, lapor Xinhua.
Jurucakap kerajaan Isaac Mwaura berkata walaupun situasi banjir semakin stabil namun enam kematian dilaporkan sejak tiga hari lalu.
"Pusat Kecemasan Kebangsaan El Nino terus memantau rapat situasi banjir dan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan serta pihak berkuasa tempatan untuk mengurangkan kesan akibat bencana itu," kata Mwaura pada Selasa.
Hujan lebat yang disebabkan fenomena El Nino dan banjir kilat telah menjejaskan 38 daripada 47 daerah sejak Oktober lalu.
Mwaura berkata daerah yang paling terjejas teruk ialah Tana River dan Lamu yang terletak di tenggara negara itu.
Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat luar biasa yang bermula pada Oktober akan berterusan hingga Januari 2024.
-- BERNAMA
#banjir #angka korban #hujan lebat #Jabatan Meteorologi
;