Korban akibat siklon di Brazil meningkat kepada 13 orang

Bernama
Jun 19, 2023 12:55 MYT
Pandangan udara menunjukkan kerosakan dan banjir akibat hujan lebat selepas siklon luar tropika melanda Caraa, di Rio Grande do Sul pada 18 Jun 2023. -REUTERS
SAO PAULO: Jumlah korban akibat siklon luar tropika yang melanda selatan Brazil pada hujung minggu lalu kini meningkat kepada 13 orang, dengan empat orang masih hilang, menurut agensi pertahanan awam negara itu pada Ahad.
Pada Jumaat, siklon yang mencetuskan banjir dan ribut itu telah menyebabkan kemusnahan di lebih daripada 40 bandar di Rio Grande do Sul, negeri yang bersempadan dengan Uruguay dan Argentina.
Operasi mencari mangsa yang hilang masih berjalan, lapor Xinhua.
Lebih separuh juta penduduk terputus bekalan elektrik dan 4,913 lagi terpaksa dipindahkan.
Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berikrar untuk menyalurkan bantuan kepada kawasan yang terjejas.
-- BERNAMA
#Brazil #siklon luar tropika #Rio Grande do Sul #Luiz Inacio Lula da Silva
;