Konya, mutiara Turkiye yang kaya sejarah

Hafidah Samat
Februari 24, 2025 15:45 MYT
Bandar tertua di Turkiye dengan populasi lebih dua juta penduduk itu, Konya sinonim sebagai pusat pemerintahan Seljuk antara 1071 hingga 1308. - Foto Astro AWANI/Hafidah Samat
JIKA anda berpeluang berkunjung ke Turkiye, jangan ketinggalan untuk menjejak kaki ke Konya.
Bandar Konya kaya dengan lipatan sejarah, budaya dan spiritual, perpaduan unik antara lokasi purba,
Terletak di Selatan Ankara, Anatolia Tengah, Konya boleh dikunjungi dengan menaiki penerbangan domestik Turkish Airlines yang mengambil masa selama 90 minit.
Bandar tertua di Turkiye dengan populasi lebih dua juta penduduk itu, Konya sinonim sebagai pusat pemerintahan Seljuk antara 1071 hingga 1308.
Bandar berkenaan bukan sahaja untuk mendalami sejarah tokoh sufi, ahli falsafah dan penyair terkenal Turkiye Maulana Jalaluddin Rumi atau lebih dikenali sebagai Rumi.
Sejujurnya, destinasi tarikan utama pelancong ke bandar ini sudah tentunya Muzium Mevlana atau Mevlana Muzesi yang terletak di tengah bandar Konya.
Tarikan utama di Muzium Mevlana merupakan makam Rumi, namun kompleks muzium itu turut menempatkan tempat pelajar Rumi belajar agama dan lodging (atau penginapan) mereka.
Ia turut memaparkan koleksi naskhah-naskhah Al-Quran termasuk yang terkecil di dunia daripada era Kerajaan Uthmaniyyah.
Menariknya mengenai Muzium Mevlana adalah kubah hijau yang berkilau dek pancaran matahari dan lokasinya yang bersebelahan dengan masjid terkenal Masjid Selimiye menjadikan ini antara destinasi utama pengunjung.
Muzium berkenaan turut menempatkan makam bapa Rumi, Bahauddin Walad dan tempat ini sering dikunjungi pelancong-pelancong khususnya dari Iran.
Aktiviti pelancongan di sekitar kawasan itu turut dirasai di bazar lama yang terletak tidak jauh dari situ.
Bazar lama ini menjual pelbagai jenis kraf tangan masyarakat tempatan, manisan tempatan dan barangan perhiasan.
Tidak jauh dari bazar lama, pengunjung juga berpeluang untuk melawat beberapa muzium kesenian dan kebudayaan Konya yang menempatkan pelbagai maklumat sejarah tempatan termasuk perihal Rumi.
Antara destinasi menarik di Konya termasuk Muzium Karatay (yang menempatkan pelbagai maklumat ketika era Kerajaan Seljuk) dan kini dijadikan sebagai muzium marmar.
Kota lama Sille
Suatu ketika dahulu, perkampungan Sille yang terletak 10km dari pusat bandar Konya pernah menempat beberapa tamadun dan peradaban dalam sejarah purba Turkiye.
Hari ini, Sille menjadi destinasi utama pelancong dari seluruh pelusuk dunia. Pasti ramai yang tidak mengetahui, Sille merupakan pusat kewujudan agama Kristian seawal 5,000 tahun dahulu, dan tarikan di perkampungan berkenaan termasuk lanskap purba yang masih dikekalkan sehingga saat ini.
Sille menawarkan pelancong ke Masjid Karata, Gereja Hagia Selena, Devil’s Bridge, Muzium Time dan hamam (Turkish baths) dan banyak lagi.
Dengan hanya kepadatan penduduk sejumlah 1,191, Sille pernah menjadi pusat peradaban agama Islam dan Kristian dan penduduk hidup denga aman dan harmoni.
Dalam musim sejuk, Sille cukup mengagumkan.
Dengan salji melitupi kawasan pergunungan yang membentuk lanskap perkampungan Sille, pengunjung pasti tertarik dengan keindahan dan ketenangan di kawasan itu.
Kulinari Turkiye cukup unik!
Turkiye turut dikenali sebagai destinasi pelancongan gastronomi.
Elemen utama dalam pembentukan budaya negara itu diasaskan pelbagai tamadun selama lebih beribu tahun dahulu.
Kunjungan ke Turkiye tidak lengkap sekiranya anda tidak ‘adventurous’untuk menikmatan keenakan masakan tempatan negara itu.
Masyarakat negara itu juga turut mementingkan aspek bebas sisa makanan – tiada apa yang patut dibazirkan!
Ibaratnya, roti kering boleh dijadikan keropok homemade dan kulit buat juga boleh dimakan sebagai jem.
Antara hidangan istimewa di Turkiye termasuk saksuka (terung dengan salsa tomato), kadinbudu kofte (daging kambing goreng cincang dan nasi), yaprak sarma (daun anggur dengan nasi kukus), kopi Turki, fistikli baklava (manisan baklava dengan kacang pistachio) dan kebab.
Turkiye juga turut menawarkan banyak pilihan untuk diet vegetarian dan vegan.
Penulis turut berkesempatan menikmati makan malam di beberapa restoran di sekitar Konya.
Kebiasaanya, sebelum makanan dihidangkan, pengunjung restoran akan dihidangkan dengan Turkish tea (cay) untuk menghilangkan dahaga dan lelah.

Nota: Lawatan penulis ke Turkiye pada Disember, 2024 adalah sebahagian daripada kerjasama Astro AWANI dan Turkish Airlines.

Jangan ketinggalan menelusuri kisah hidup Rumi dalam dokumentari, 'Rumi' di Saluran 501 (Astro AWANI) dan Live TV (astroawani.com) tidak lama lagi.

#konya #Istanbul #Turkiye #kulinari Turkiye
;