Konvoi kemanusiaan di Gaza jadi mangsa serangan - ICRC

Bernama
November 8, 2023 13:40 MYT
Sukarelawan berdiri di hadapan trak membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di persimpangan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza. - Gambar fail/ AP
BANDARAYA GAZA: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) pada Selasa berkata konvoi kemanusiaannya ditembak di Bandar Gaza.
"ICRC menegaskan pihak-pihak yang terlibat perlu mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk menghormati dan melindungi petugas kemanusiaan pada setiap masa," Agensi Anadolu memetik kenyataan pertubuhan itu.
Konvoi yang terdiri daripada lima trak dan dua kenderaan ICRC dilaporkan sedang mengangkut bekalan perubatan ke kemudahan kesihatan, termasuk Hospital Al Quds Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin semasa ia diserang.
Dalam kejadian itu, dua trak rosak dan seorang pemandu mengalami cedera ringan.
Ketua delegasi ICRC di Gaza, William Schomburg berkata situasi berkenaan tidak menyediakan persekitaran yang selamat bagi kakitangan kemanusian meneruskan tugas mereka.
"Kehadiran kami di sini adalah untuk membawa bantuan segera kepada orang awam yang memerlukan. Memastikan bantuan penting sampai ke kemudahan perubatan adalah satu kewajipan undang-undang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
#Perang Palestin-Israel #konvoi kemanusiaan #mangsa serangan #Israel
;