Kontrak sosial baharu diperlukan bagi lindungi golongan rentan - Laporan PBB
Bernama
April 13, 2022 06:50 MYT
April 13, 2022 06:50 MYT
BANGKOK: Pemulihan ekonomi di rantau Asia dan Pasifik daripada pandemik COVID-19 dan risiko global lain perlu bersandarkan "kontrak sosial baharu" untuk melindungi golongan rentan, menurut tinjauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Tinjauan Ekonomi dan Sosial Asia dan Pasifik 2022, dikeluarkan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB untuk Asia dan Pasifik (ESCAP), pandemik telah menafikan lebih 820 juta pekerja tidak formal dan lebih 70 juta kanak-kanak daripada golongan yang kurang berkemampun untuk mendapatkan akses pendapatan dan persekolahan yang sewajarnya.
Sebanyak 85 juta orang di rantau Asia dan Pasifik dilaporkan terjerumus semula kepada kemiskinan tegar pada 2021.
Pertumbuhan ekonomi di negara membangun di Asia dan Pasifik diunjurkan pada kadar sederhana iaitu 4.5 peratus pada 2022 dan lima peratus pada 2023, berbanding anggaran pertumbuhan 7.1 peratus pada 2021.
Kerugian pengeluaran antara 2020 dan 2022 pula dianggarkan sebanyak US$2 trilion.
"Dengan ruang fiskal yang semakin berkurangan di banyak negara membangun di rantau ini, tinjauan itu memberi amaran mengenai pemotongan perbelanjaan fiskal untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial untuk melindungi keuntungan pembangunan sejak beberapa dekad lalu dan mencegah ketidaksamaan yang semakin mendalam di rantau ini," menurut tinjauan itu.
Justeru, ESCAP mengesyorkan beberapa agenda dasar serampang tiga mata, bertujuan membentuk ekonomi inklusif di Asia dan Pasifik.
Antara syor berkenaan ialah negara membangun di rantau itu perlu lebih menumpukan perbelanjaan awam untuk kesihatan selain memperluas akses perlindungan sosial.
Tinjauan itu adalah kajian sosioekonomi tahunan yang paling lama dan komprehensif, ia pertama kali diterbitkan pada tahun 1947.
-- BERNAMA