Konsert Taylor Swift: Bahan kimia, peranti teknikal ditemui di rumah suspek

Agensi
Ogos 8, 2024 09:38 MYT
Tiga konsert Swift di Vienna, yang dijangka menarik 195,000 orang, dibatalkan pada Rabu selepas kerajaan mengesan serangan yang dirancang di konsert tersebut. - foto
VIENNA: Seorang suspek berusia 19 tahun didakwa merancang dengan teliti serangan terhadap konsert Taylor Swift dengan penemuan bahan kimia dan peranti teknikal semasa pihak berkuasa menggeledah kediamannya.
Ketua Pengarah Keselamatan Awam Austria, Frankz Ruf berkata, remaja itu, berketuruna Macedonia Utara, dianggap suspek utama dipercayai bekerjasama dengan seorang lagi warga Austria berusia 17 tahun.
Kedua-dua lelaki itu adalah sebahagian daripada kumpulan kecil yang sedang disiasat, kata Ruf.
Menurutnya, remaja berusia 19 tahun itu juga didakwa telah berikrar taat setia kepada kumpulan Daesh.
“Kami sudah tentu menyiasat persekitaran mereka dengan lebih luas," kata Ruf, sambil menambah bahawa ancaman itu dapat dikurangkan dengan penahanan kedua-dua suspek itu.
Tiga konsert Swift dijadualkan di Vienna, yang dijangka menarik 195,000 orang, terpaksa dibatalkan pada Rabu selepas kerajaan mengesan serangan terancang di konsert tersebut.
Polis telah menahan tiga orang yang disyaki merancang serangan ke atas konsert itu.
Pemeriksaan di rumah suspek utama di bandar Ternitz berhampiran sempadan Hungary menunjukkan “persediaan rapi”, kata Ruf.
Akhbar Kurier, memetik sumber, melaporkan bahawa suspek telah mencuri bahan kimia dari tempat kerjanya dan telah membuat bom daripada bahan itu.
Akhbar itu melaporkan bahawa remaja berkenaan telah merancang untuk memandu kereta dan merempuh orang ramai di luar stadium sebagai sebahagian taktik serangan.
Konsert itu akan menjadi sebahagian daripada siri Jelajah Eras yang bermula pada 17 Mac 2023, di Glendale, Arizona di Amerika Syarikat.
Konsert terakhir Swift dijangka berakhir pada 8 Disember 2024 di Vancouver, Kanada .
Swift, 34, masih belum mengulas mengenai pembatalan itu di akaun Instagram rasminya yang mempunyai 283 juta pengikut.
#Taylor Swift #serangan ke atas Jelajah Eras #suspek 19 tahun ditahan #alat peranti dan bahan kimia