Konsert jelajah Justin Bieber di Malaysia Oktober ini
Astro Awani
Mac 23, 2022 11:33 MYT
Mac 23, 2022 11:33 MYT
KUALA LUMPUR: Pembukaan sempadan antarabangsa sepenuhnya selepas dua tahun bukan sahaja bakal merancakkan kembali ekonomi negara malah juga menandakan 'kembalinya' penganjuran konsert bertaraf antarabangsa.
Pengumuman itu dilihat bertepatan pada masanya apabila bintang pop terkenal Justin Bieber hari ini mengumumkan tarikh baharu konsert jelajah Justice World Tour yang akan diadakan di 20 buah negara tahun ini.
Bieber turut menyenaraikan mengadakan persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara pada 22 Oktober ini.
Penyanyi kelahiran Kanada itu dijangka membuat persembahan terbuka di Jakarta, Nagoya, Osaka, Tokyo yang merangkumi 100 hari sehingga tahun 2023.
Selain negara-negara Asia, penyanyi yang terkenal dengan lagu Anyone itu juga dijangka membuat persembahan konsert istimewanya di hadapan peminat di Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah, United Kingdom, Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Timur Tengah.
Wakil penganjur, PR Worldwide dan AEG yang bertanggungjawab membawa penyanyi itu memberitahu, mendepani penularan COVID-19 syarikat itu akan mengambil semua langkah-langkah keselamatan bagi menjamin persekitaran yang selesa dan selamat bukan sahaja untuk kakitangan, artis dan kru malah juga kepada penonton.
"Kami sangat berbangga dapat membawa jelajah Justice World Tour kepada peminat Malaysia pada Oktober ini. Saya percaya ini satu pengumuman yang dinanti-nantikan oleh semua peminat Bieber.
"Tidak dapat kami gambarkan perasaan ini, untuk membuat konsert mega selepas hampir dua tahun," katanya di sini, pada Rabu.
Menurut PR Worldwide dan AEG, konsert itu akan diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang ditetapkan termasuk pengunjung perlu melengkapkan vaksinasi COVID-19 dan tiket dijual secara dalam talian.