Konsep kesederhanaan Malaysia dihargai di pentas dunia - Ali Hamsa

Bernama
Oktober 29, 2016 08:04 MYT
Ali ketika berucap pada sesi ke-71 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Mengenai Perkara 70 Laporan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di New York pada Khamis. - Foto Bernama
Konsep kesederhanaan yang dibawa oleh Malaysia sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dihargai di pentas antarabangsa, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Di sebalik dunia menyaksikan keganasan dan ekstremisme, katanya, peranan Malaysia di UNSC didorong oleh lima keutamaan - kesederhanaan, meditasi, pengaman, membina keamanan dan reformasi dalam UNSC.
"Dalam UNSC, kita telah menunjukkan kesediaan untuk menanggung tanggungjawab kolektif bersama komuniti antarabangsa bagi memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa," katanya dalam temu bual dengan Bernama di sini.
Ali, tiba di sini dari Sweden, selepas menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) bagi Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) bagi membincangkan antara lain, persoalan mengukur produktiviti dalam kalangan perjawat awam.
Beliau turut berucap pada sesi ke-71 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Mengenai Perkara 70 Laporan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, Khamis.
Ali berkata sebagai ekonomi pesat membangun atau kuasa pertengahan, Malaysia boleh menyumbang secara berkesan dalam usaha-usaha multilateral global dalam mendesak keamanan dan keselamatan, pembangunan, kemanusiaan dan menangani isu hak asasi manusia di seluruh dunia.
Selain mendesak penyelesaian konflik di Palestin, Syria, Yemen dan beberapa negara di benua Afrika, katanya, Malaysia, memainkan peranan yang berkesan dalam mengumpul sokongan dengan menyelaras dengan anggota bukan tetap UNSC dengan mendesak ketelusan dalam proses pemilihan UNSC.
Keanggotaan Malaysia selama dua tahun sebagai ahli tidak tetap dalam UNSC berakhir 31 Dis 2016. -- BERNAMA
#kesederhanaan #ketua setiausaha negara #KSN #New York #PBB #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
;