Konsensus 5 perkara ASEAN perlu perpaduan serantau, sokongan antarabangsa - PBB

Bernama
Januari 17, 2022 04:20 MYT
Thailand sedang mengikuti rapat keadaan di Myanmar dan berharap pergolakan dan keganasan akan dihentikan bagi memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat - Foto REUTERS/gambar hiasan
BANGKOK: Pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN secara berkesan untuk menangani krisis di Myanmar memerlukan perpaduan serantau dan sokongan antarabangsa yang terancang, kata utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
Utusan Khas Setiausaha Agung PBB ke Myanmar Noeleen Heyzer berkata sebarang tindakan muhibah ke arah melindungi rakyat Myanmar dan mata pencarian mereka perlu ditunjukkan secara jelas.
"Usaha bersama 'humanitarian-plus' PBB-ASEAN untuk menangani keperluan rakyat melalui semua saluran sedia ada dengan akses selamat dan tanpa halangan adalah langkah pertama yang penting," katanya dalam satu kenyataan di sini selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o cha di Rumah Kerajaan di sini, pada Isnin.
Pada pertemuan itu, Heyzer mengatakan mereka berbincang mengenai perbincangannya baru-baru ini dengan Pengerusi ASEAN (kini Kemboja).
Beliau juga menekankan kepada Prayuth tentang keperluan menjalin kerjasama rapat dengan Duta Khas ASEAN untuk membantu membina inisiatif yang boleh mewujudkan laluan bagi pelaksanaan berkesan 5PC yang boleh diterima oleh semua pihak berkepentingan di Myanmar.
"Prayuth Chan o-cha mempunyai peranan penting dalam menghalang keadaan yang lebih buruk di Myanmar. Dalam pertemuan dengan perdana menteri, saya menggesa tindakan segera dan kerjasama untuk mencegah keadaan yang lebih buruk di Myanmar dan menangani keperluan terdesak rakyat Myanmar, khususnya penduduk yang paling mudah terkesan, katanya.
Sementara itu, Prayuth dalam kenyataan berasingan berkata membina kepercayaan dengan pemimpin Myanmar menjadi langkah penting dalam membantu menyelesaikan krisis yang dicetuskan oleh rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021.
Beliau berkata Thailand sedang mengikuti rapat keadaan di Myanmar dan berharap pergolakan dan keganasan akan dihentikan bagi memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat.
"Krisis Myanmar adalah rumit dan ia mesti dikaji dengan lebih mendalam daripada pelbagai aspek untuk lebih memahami situasi bagi menyelesaikan krisis secara beransur-ansur," katanya.
Prayuth memberi jaminan bahawa Thailand akan terus menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian yang berada di sepanjang sempadan.
-- BERNAMA
#ASEAN #krisis Myanmar #Konsensus Lima Perkara #Noeleen Heyzer
;