Konon 'mendidik', guru arah murid tadika cium kakinya dipecat

Agensi
April 15, 2021 11:45 MYT
Kejadian berlaku selepas murid itu mendakwa kaki gurunya berbau selepas dia menanggalkan kasut. -SCMP
BEIJING: Seorang guru dipecat selepas mengarahkan murid tadika untuk mencium kakinya sebelum menyiarkan gambar perbuatan tidak senonoh itu di laman sosial WeChat.
Tindakan guru tadika itu yang dikenali dengan nama keluarga Liu mengundang padah apabila perkara itu menjadi tular di laman sosial Weibo.
Akibatnya, guru yang mengajar di rangkaian prasekolah RYB Education di tenggara China itu dipecat dan ditahan reman selama seminggu.
Memetik laporan media antarabangsa, dalam kejadian tersebut, guru lelaki itu memuat naik tiga keping gambar di aplikasi WeChat memaparkan kanak-kanak tersebut sedang memegang kakinya manakala, kedua-dua tangannya pula menekan hidung kanak-kanak itu ke tapak kakinya.
“Cium, cium betul-betul,” tulis kapsyen pada gambar itu.
Dia bagaimanapun menutup komen serta menyekat ibu bapa dan guru lain.
Siasatan awal jabatan pendidikan mendapati kejadian itu berlaku selepas lelaki berkenaan menanggalkan kasutnya sebelum membawa murid ke kawasan permainan pada Isnin.
Mangsa kemudian mendakwa kaki gurunya itu berbau.
Liu kemudian mencium kakinya sebelum mengarahkan kanak-kanak itu melakukan perkara sama serta merakam gambarnya.
Sementara itu, pemerintah wilayah Ruijin telah mengeluarkan amaran kepada tadika tersebut dan memerintahkannya untuk memecat Liu.
#kaki berbau #guru arah murid cium kaki #Weibo #WeChat #RYB Education #tekan hidung ke kaki #guru tanggal kasut
;