Kongsi maklumat penting untuk banteras kegiatan lanun di rantau ini
Bernama
April 25, 2016 07:13 MYT
April 25, 2016 07:13 MYT
Perkongsian maklumat di kalangan negara-negara ASEAN adalah penting bagi membanteras kegiatan lanun di rantau ini, kata Ketua Lembaga Pelabuhan Tanjung Priok, Kementerian Pengangkutan Indonesia, Kapt Sahattua Simatupang.
Beliau berkata kegiatan lanun kini menjadi masalah serantau, oleh itu negara-negara ASEAN perlu mempertingkat kerjasama sebagai langkah pencegahan.
"Misalnya, bila lanun menyerang sebuah kapal...kita mesti menyelaras dan memantau laut dan seterusnya memberitahu negara-negara anggota ASEAN.
"Cara itu memudahkan penyampaian maklumat yang diterima kepada pihak berkuasa untuk membanteras kegiatan itu," katanya.
Beliau bercakap kepada Bernama di luar Persidangan Antarabangsa ke-8 Institut Maritim Malaysia (MIMA) mengenai Selat Melaka 2016, dengan tema "Isu serantau yang berulang dan kesannnya kepada Selat Melaka' di sini pada Isnin.
Sementara itu, Penolong Ketua Eksekutif (Operasi) Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura Kapt M. Segar yang bersetuju dengan kenyataan itu berkata hubungan baik di kalangan negara-negara ASEAN dan tindakan pantas Malaysia semasa krisis seumpama itu boleh membantu negara-negara anggota lain.
Persidangan dua hari itu dihadiri oleh lebih 100 peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura, Jepun, China and Pakistan.