Kongsi gelap Amerika Latin guna rasuah, laluan rahsia seludup jaguar ke China
Agensi
November 6, 2020 14:05 MYT
November 6, 2020 14:05 MYT
BOGOTA: Kumpulan kongsi gelap di Bolivia dan beberapa negara Amerika Latin lain menyogok pihak berkuasa selain menggunakan laluan rahsia untuk melepasi pemeriksaan kastam hanya untuk menyeludup jaguar ke Tanah Besar China.
Reuters memetik hasil siasatan kumpulan pejuang alam sekitar yang dibiayai Kesatuan Konservasi Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) di Belanda, berdasarkan 75 sumber risikan di benua itu, termasuk pengakuan daripada anggota penyeludup sendiri.
Jaguar yang merupakan spesies feline terbesar di Amerika Latin, diklasifikasi sebagai haiwan yang hampir terancam dalam senarai merah IUCN.
Haiwan itu diburu kumpulan penyeludup demi meraih keuntungan daripada jualan tulang, organ pembiakan dan taringnya kepada pelanggan di Asia, terutamanya China.
"Jaguar merupakan spesies penting untuk dilindungi. Ia merupakan kunci utama dalam ekosistem habitatnya, dengan melengkapi spesies lain bersamanya,” ujar penasihat bebas, Angela Nunez, di Bolivia.
Kumpulan penjenayah di Bolivia mengambil kesempatan daripada penguatkuasaan undang-undang yang tidak ketat, selain amalan rasuah serta kawalan sempadan yang lemah.
Di China, bahagian tubuh jaguar turut dianggap mempunyai nilai perubatan yang sama dengan yang diperoleh daripada spesies harimau lain.
Kebanyakan bahagian tubuh haiwan itu diseludup menaiki kapal terbang, namun penghantaran melalui kapal dan pos juga digunakan.