Kongres PKC fokus China sebagai negara sosialis moden, kuat menjelang 2049

Madiha Abdullah
Oktober 16, 2022 05:30 MYT
Jinping berkata China akan terus meningkatkan keterbukaan yang saling menguntungkan, menyediakan peluang baharu kepada dunia. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Kongres Parti Komunis China (PKC) yang berlangsung pada Ahad hingga 22 Oktober bakal membawa perbincangan tentang hala tuju pembangunan, sekali gus membentuk China sebagai sebuah negara sosialis moden yang kuat.
Wartawan Kumpulan Media China (CMG), Zhang Hong berkata, kongres kali ke-20 itu telah dimulakan dengan laporan yang dibentangkan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, yang juga Presiden China, Xi Jinping.
"Kongres ini berperanan penting dalam membahas hala tuju pembangunan di China. PKC baharu berjaya mewujudkan matlamat untuk membasmi kemiskinan dan mewujudkan masyarakat makmur dan sederhana.
"Saranan seterusnya ialah membangunkan China sebagai negara sosialis moden yang kuat menjelang 2049 yang juga ulang tahun ke-100 penubuhan republik itu," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.
Jelasnya, dalam laporan yang dibentangkan Jinping, modenisasi China akan mengandungi elemen yang biasa dalam proses pemodenan semua negara, namun ia akan menonjolkan keunikan tersendiri berdasarkan keadaan dan situasi negara itu.
"Modenisasi China membabitkan operasi besar kemakmuran bersama dan kemajuan seimbang dari segi kebendaan dan kerohanian, simbiosis manusia dan alam serta komitmen menempuh jalan pembangunan damai.
"China akan terus meningkatkan keterbukaan yang saling menguntungkan, menyediakan peluang baharu kepada dunia supaya membawa manfaat kepada semua.
"China juga telah mengemukakan inisiatif pembangunan global dan inisiatif keselamatan global, menyeru seluruh dunia berganding bahu dalam menghadapi cabaran global," katanya lagi.
#China #PKC #Xi Jinping #Kongres Parti Komunis China
;