Kongres AS mulakan sidang, ini 5 detik bersejarah yang anda kena tahu
Agensi
Januari 5, 2019 10:57 MYT
Januari 5, 2019 10:57 MYT
Kongres Amerika Syarikat yang memulakan persidangan minggu ini menjadi tumpuan, selain ramai yang menunggu gelagat Presiden Donald Trump dan ucapan-ucapan kontroversinya, sidang kali juga ada keistimewaannya.
Kongres negara itu ketika ini dianggotai lebih 100 wakil wanita daripada kedua-dua parti politik terbesar, Parti Republikan dan Parti Demokrat dengan mencatatkan jumlah terbesar dalam sejarah negara itu.
Terdapat 102 wanita dilantik anggota Kongres dengan 36 daripadanya baharu dilantik selain mencatatkan 43 anggota wanita berbilang etnik.
Ada di antara mereka yang mengangkat sumpah buat kali pertama sebagai anggota Kongres termasuk pelantikan wanita beragama Islam dan paling muda.
Berikut merupakan 5 senarai tumpuan 'bersejarah' sidang Kongres Amerika Syarikat:
1. Orang Asli AS yang pertama terpilih
Sharice Davids dan Deb Haaland menjadi wanita suku asli Amerika pertama yang terpilih untuk menduduki Kongres Amerika Syarikat.
Davids mewakili suku kaum dari kelompok etnik Ho-Chunk Nation manakala Haaland adalah wakil Orang Asli dari kelompok etnik Pueblo of Laguna. Kemenangan yang diperoleh dua wanita asli Amerika ini cukup bersejarah dalam sistem politik AS.
2. Anggota Kongres termuda
Selain itu, Alexandria Ocasio-Cortez turut menjadi tumpuan kerana beliau merupakan anggota Kongres termuda berusia 29 tahun. Ocasio-Cortez sebelum ini bekerja sebagai pelayan bar mewakili Demokrat menewaskan Anthony Pappas dari Parti Republikan.
3. Wanita Islam pertama mengangkat sumpah
Rashida Tlaib dan Ilhan Omar pula merupakan dua wanita beragama Islam pertama dari Demokrat terpilih menjadi anggota Kongres. Kedua-dua wanita tersebut mengangkat sumpah dengan al-Quran sambil memakai baju tradisional masing-masing dan menjadi anggota Kongres pertama yang berhijab.
4. Anggota Kongres berasal dari Palestin
Rashida dilahirkan di Detroit dan keluarganya berasal dari Palestin menjadi wanita pertama berketurunan Palestin yang mengangkat sumpah. Lebih menarik, pakaian tradisional Pakistan 'Thobe' turut mendapat perhatian dunia dengan menggunakan hashtag #TweetYourThobe
5. Lantikan kedua sebagai anggota Kongres
Sementara itu, Nancy Pelosi merupakan anggota veteran Demokrat dari California dan pelantikan beliau buat kali kedua seiring dengan sambutan ke-100 tahun penglibatan golongan wanita diberi hak untuk mengundi. Pada usia 78 tahun, Pelosi mengambil alih semula jawatan yang dipegangnya puluhan tahun lalu, ketika menjadi Speaker wanita pertama Kongres.
Secara keseluruhan, Kongres dianggotai seramai 235 ahli Demokrat dan 199 Republikan. - Sumber Agensi