Konfrontasi Rusia: NATO mahu penyelesaian diplomatik, elak perang
Astro Awani
Januari 29, 2022 12:11 MYT
Januari 29, 2022 12:11 MYT
BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) optimis langkah diplomatik sebagai penyelesaian utama krisis melibatkan Rusia dan Ukraine.
Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya Jens Stoltenberg tegaskan, ia tetap bersedia berdepan situasi terburuk.
Kenyataan Stoltenberg ini menyusul sehari selepas Presiden Joe Biden beri amaran kepada pemimpin Ukraine, Rusia berkemungkinan besar melancarkan tindakan ketenteraan terhadap negara itu.
"Di pihak NATO, kami sedia terlibat dengan dialog politik. Tetapi kami juga sedia bertindak sekiranya Rusia memilih konfrontasi ketenteraan.
"Kami bersedia untuk kedua-dua pilihan ini. Kami bekerja keras untuk penyelesaian politik yang aman, tetapi kami juga sedia hadapi situasi terburuk, sekiranya Rusia mula menggunakan tindakan ketenteraan ke atas Ukraine," katanya.
Ketegangan semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Amerika Syarikat dan sekutu NATO kini memantau tindakan Rusia mengerahkan lebih 100,000 tentera ke sempadan Ukraine.
Walaupun tiada pengesahan mengenai tindakan lanjut Kremlin, Stoltenberg tegaskan NATO sudah sedia dengan sebarang kontigensi.