Konflik Taiwan-China: Latihan ketenteraan didakwa muslihat untuk ceroboh
Astro Awani
Ogos 10, 2022 09:10 MYT
Ogos 10, 2022 09:10 MYT
TAIPEI: Taiwan memberi amaran China menggunakan latihan ketenteraan yang dilancar sebagai protes terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi sebagai alasan untuk mempersiapkan pencerobohan ke atas pulau itu.
Menteri Luar Joseph Wu berkata, Taiwan tidak akan gentar walaupun latihan berterusan China sering melanggar garis tengah tidak rasmi di selat negara itu.
Jelasnya, China sedang menjalankan latihan ketenteraan berskala besar dan pelancaran peluru berpandu serta serangan siber, berita palsu, dan paksaan ekonomi dalam usaha melemahkan semangat awam di Taiwan.
Selepas latihan itu tamat, China mungkin cuba melakukan rutin tindakannya dalam usaha untuk memusnahkan status quo jangka panjang merentasi selat Taiwan.
Kata Wu, langkah sedemikian mengancam keselamatan serantau dan memberikan "imej jelas tentang cita-cita geostrategik China di luar Taiwan.
Justeru, beliau menggesa sokongan antarabangsa yang lebih besar dan berkesan untuk menghentikan tindakan China mengawal selat itu.
Pejabat Hal Ehwal Taiwan-China membalas komen Wu dengan mengatakan beliau adalah penyokong keras kemerdekaan Taiwan dan kenyataan Wu "memesongkan kebenaran dan mengaburkan fakta".
Isnin lepas, seorang pegawai Pentagon AS berkata, Washington berpegang pada penilaiannya bahawa China tidak akan cuba untuk menyerang Taiwan untuk dua tahun akan datang.