Konflik Rusia-Ukraine: Presiden Ukraine adakan perbincangan dengan Erdogan, Guterres
Bernama
Ogos 19, 2022 18:19 MYT
Ogos 19, 2022 18:19 MYT
KIEV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Khamis membincangkan prospek bagi menamatkan konflik Rusia-Ukraine dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, lapor Xinhua memetik laporan agensi berita tempatan yang dikendalikan kerajaan Ukraine.
Pada sidang media bersama selepas pertemuan mereka di bandar Lviv di barat Ukraine, Zelensky berkata bahawa Kiev bersedia untuk mengadakan rundingan damai dengan Moscow hanya selepas pengunduran tentera Rusia dari Ukraine.
Sementara itu, Erdogan berkata Turkiye akan memberikan sokongan yang diperlukan untuk menyambung semula rundingan demi menamatkan konflik.
Rundingan damai antara Ukraine dan Rusia dilihat boleh dicapai berdasarkan perjanjian yang dimeterai pada Mac di Istanbul, kata Erdogan, sambil menambah bahawa Turkiye bersedia untuk menjadi orang tengah dalam rundingan itu.
Semasa sidang media itu, Guterres menggesa agar loji kuasa nuklear Zaporizhzhia di selatan Ukraine menjadi zon bebas tentera.
Loji itu, merupakan antara loji tenaga nuklear terbesar di Eropah, berada di bawah kawalan tentera Rusia sejak awal Mac.
"Peralatan ketenteraan dan anggotanya mesti ditarik balik dari loji. Pengerahan pasukan atau senjata yang selanjutnya di kemudahan itu mesti dielakkan," kata Guterres.
Konflik Rusia-Ukraine tercetus sejak 24 Februari.
Terbaharu, Ukraine dan Rusia mengadakan pusingan terbaharu rundingan damai secara bersemuka di Istanbul, Turkiye, pada 29 Mac.
-- BERNAMA