Konflik Rusia-Ukraine: Enam kapal perang Rusia jalani latihan ketenteraan di Laut Hitam
Agensi
Februari 8, 2022 20:55 MYT
Februari 8, 2022 20:55 MYT
MOSCOW/ISTANBUL: Enam kapal perang Rusia sedang menuju ke Laut Hitam dari Mediterranean untuk latihan ketenteraan, agensi berita Interfax memetik kenyataan Kementerian Pertahanan Rusia pada hari Selasa.
Rusia bulan lalu mengumumkan tentera lautnya akan mengadakan satu siri latihan menyeluruh yang melibatkan semua armadanya pada Januari dan Februari, dari Pasifik ke Atlantik, bagi menunjukkan kekuatan dimiliki mereka ketika lonjakan aktiviti ketenteraan semasa ketegangan dengan Barat berhubung konflik dengan Ukraine.
Enam kapal itu dijadualkan melalui selat Turki ke Laut Hitam pada Selasa dan Rabu, kata sumber Turki.
Rusia telah mengumpulkan lebih 100,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine.
Mereka menafikan sebarang rancangan untuk menyerang tetapi sedang mencari jaminan keselamatan menyeluruh, termasuk perjanjian bahawa tiada penempatan peluru berpandu berhampiran sempadannya, pengurangan infrastruktur ketenteraan NATO dan larangan ke atas Ukraine untuk menyertai perikatan itu.
Dari sudut undang-undang, anggota NATO Turki boleh menutup selat untuk transit jika Rusia mengambil tindakan ketenteraan terhadap Ukraine.
Presiden Tayyip Erdogan telah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam perbalahan antara Moscow dan Kyiv.
Ankara mempunyai hubungan mesra dengan kedua-dua negara, walaupun Erdogan berkata ia akan melakukan apa yang perlu sebagai anggota NATO sekiranya berlaku pencerobohan ke atas Rusia.