Konflik Myanmar: ASEAN tegas kepentingan laksana Konsensus Lima Perkara

Firdaus Azil
April 19, 2024 23:09 MYT
Negara-negara anggota itu menjelaskan, konflik tersebut telah mengakibatkan sebilangan besar penduduk terpaksa meninggalkan kawasan kediaman masing-masing. - Gambar fail/Reuters/Athit Perawongmetha
KUALA LUMPUR: Negara-negara anggota ASEAN menzahirkan kebimbangan terhadap ketegangan yang berlaku di Myawaddy, Kayin State yang terletak di sempadan Myanmar-Thailand, serta di Rakhine State, Myanmar.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, negara-negara anggota itu menjelaskan, konflik tersebut telah mengakibatkan sebilangan besar penduduk terpaksa meninggalkan kawasan kediaman masing-masing.
Kenyataan itu menjelaskan, kesemua pihak terlibat perlu menghentikan keganasan, mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengambil kesemua langkah yang perlu bagi mengelakkan impak kemanusiaan susulan peningkatan kesemua bentuk konflik.
Tambah kenyataan itu, turut menjadi tanggungjawab pihak terbabit untuk memastikan keselamatan orang awam, termasuk orang luar serta penduduk di negara anggota ASEAN.
“Kami akan terus menyokong usaha Pusat AHA, termasuk inisiatif bantuan kemanusiaan rentas sempadan oleh Thailand, yang selari dengan Konsensus Lima Perkara, dan selaras dengan Pengerusi ASEAN melalui Wakil Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar.
“Kami menggesa mobilisasi sokongan atau usaha ke arah perbincangan kemanusiaan bagi menangani bencana kemanusiaan di Myanmar, serta memanggil dialog inklusif ke arah penyelesaian politik yang mampan dan komprehensif di Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menegaskan, semula negara berkenaan memberi komitmen untuk membantu Myanmar mencari penyelesaian dengan mewujudkan persekitaran kondusif melalu pelaksanaan penuh Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui sebelum ini.
“Ia penting bagi mencapai resolusi aman yang inklusif dan mampan tentang krisis, yang perlu didahului oleh Myanmar bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan dalam rantau ini.
“Kami juga sekali lagi menegaskan keperluan mewujudkan Myanmar yang aman dan bersatu demi kepentingan ASEAN. Susulan itu kami menegaskan semula sokongan kami terhadap Pengerusi ASEAN dan Wakil Khasnya di Myanmar, termasuk dialog berterusan dengan kesemua pemegang taruh di Myanmar,” jelas kenyataan itu.
#ASEAN #Myanmar #Rakhine #Thailand
;