Konflik Kazakhstan: White House pantau tindakan CSTO hantar pasukan pengaman
Astro Awani
Januari 7, 2022 10:21 MYT
Januari 7, 2022 10:21 MYT
WHITE House memaklumkan ia sedang memantau dengan teliti laporan bahawa Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) menghantar pasukan pengamannya ke Kazakhstan, yang ketika ini dilanda protes berdarah.
Menurut Setiausaha Akhbar White House Jen Psaki, persoalan timbul dari pihaknya sama ada tindakan CSTO, yang diketuai Rusia, adalah melalui permintaan yang sah atau tidak.
"Dunia sudah tentu akan memerhatikan sebarang pelanggaran hak asasi manusia dan tindakan yang mungkin menjadi predikat untuk merampas institusi Kazakhstan.
"Dan kami menyeru pasukan pengaman kolektif CSTO dan penguatkuasaan undang-undang untuk menegakkan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa bagi menyokong resolusi aman.
"Sudah tentu, kita akan biarkan Kremlin bercakap dengan ketenteraan mereka, berhubung saiz mereka serta sebarang perkara spesifik, tetapi inilah pendirian kita ketika ini.
"Tiada sebarang perubahan kepada tiga set perbincangan yang dirancang minggu depan," katanya di Washington DC pada Khamis.
Operasi itu adalah tindakan ketenteraan pertama oleh CSTO yang menunjukkan bahawa jiran Kazakhstan, khususnya Rusia, bimbang pergolakan itu merebak.
Rusia dan Kazakhstan mempunyai hubungan rapat dan berkongsi sempadan. Kemudahan pelancaran angkasa lepas kendalian Rusia juga terletak di Kazakhstan.
Menurut CSTO, Rusia sudah mula menghantar pasukan pengamannya ke Kazakhstan, Armenia, Belarus, Kyrgyzstan dan Tajikistan.
Tetapi, jurucakap Presiden Kyrgyzstan, Erbol Sutanbaev, berkata, perkara itu mesti diluluskan oleh Parlimennya dan tentera tidak boleh mengambil tindakan melibatkan penunjuk perasaan.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken sebelum ini dilaporkan menghubungi rakan sejawatannya di Kazakhstan, Mukhtar Tileuberdi dan mengulangi sokongan penuh AS terhadap institusi perlembagaan Kazakhstan, kebebasan media dan penyelesaian secara aman.